Selangor, Pusat Bincang Semula Perjanjian Air

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor dan kerajaan Persekutuan hari ini mengadakan perbincangan semula berhubung syarat-syarat perjanjian penstrukturan air di negeri ini.

 

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata perbincangan awal mengenai perkara itu diadakan antara Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Loo Took Gee pagi tadi.

 

“Perbincangan hari ini bukan antara menteri dan menteri besar, ia antara pegawai tertinggi. Kerajaan negeri diwakili Datuk Khusrin dan saya diberitahu pihak sebelah sana diwakili KSU.

 

“Saya difahamkan perbincangan pagi tadi merupakan permulaan yang baik dan saya akan buat mesyuarat susulan dengan menteri (berkenaan)…saya harap kita mampu memuktamadkan semua semangat dan prinsip perjanjian ini secepat mungkin,” katanya.

 

Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program sambutan Hari Air Sedunia 2015 peringkat negeri Selangor di sini, hari ini.

 

Pada 9 Mac lepas, Mohamed Azmin memaklumkan bahawa kerajaan Selangor memutuskan untuk membatalkan perjanjian penstrukturan air itu atas alasan kerajaan Persekutuan melanggar beberapa terma Perjanjian Utama yang ditandatangani tahun lepas.

 

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili menjelaskan kemudian bahawa kerajaan negeri enggan menangani tiga daripada lapan syarat dalam perjanjian utama dengan kerajaan Persekutuan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.