Mungkin Perlu Tubuh Parti Baru – PasMa

NGO pro-Pakatan Rakyat dalam PAS, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) tidak menolak kemungkinan bahawa satu parti baru perlu diwujudkan demi menyelamatkan gabungan parti berkenaan.

 

Presiden, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, parti itu bagaimanapun perlu dibentuk sebagai entiti lain dan bukannya dari PasMa sendiri, jika keperluan itu timbul.

 

“Belum ada sebarang rancangan untuk menjadikan PasMa sebagai parti politik.

 

“Jika ada cadangan atau keperluan, perlu wujudkan entiti lain, bukan PasMa,” kata Phahrolrazi seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian.

 

Tambahnya, proses menubuhkan parti baru bukan mudah kerana banyak kesukaran perlu dilalui untuk mendapatkan kelulusan daripada pelbagai pihak.

 

Pendirian NGO tersebut mendapat perhatian meluas kerana PasMa sering menyatakan kebimbangan jika PAS keluar dari Pakatan atau membentuk kerjasama dengan Umno.

 

Percaturan tindakan PasMa itu juga menarik minat pemerhati susulan penentangan terbuka di kalangan rakan kongsi Pakatan – PKR dan DAP – ke atas usaha PAS untuk melaksanakan hudud.

 

Phahrolrazi juga tidak mempertahankan jawatannya sebagai yang dipertua PAS Kuala Kedah semasa jawatankuasa kawasan itu mengadakan mesyuarat pemilihan Sabtu lalu.

 

Mengulas lanjut mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan pada masa ini, Phahrolrazi berkata beliau masih berharap agar parti itu tidak berpecah daripada pakatan.

 

“Kita akan bersama-sama untuk memulihkan dan memperkukuhkan Pakatan termasuk mengadakan perbincangan dengan mereka.

 

“Buat masa sekarang kita akan tunggu dan lihat perkembangan seterusnya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

 

Phahlolrazi turut ditanya sama ada satu gabungan baru perlu diwujudkan jika Pakatan tidak lagi dapat diselamatkan.

 

Mengulas perkara itu, bekas Exco Kedah itu berkata, beliau akan sentiasa menyokong pakatan selain BN.

 

“Jika itu berlaku (rakan pakatan keluar Pakatan) perlu ada satu pakatan atau apa jua gabungan baharu diwujudkan bagi memberi pilihan kepada rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.