Kumpulan Anti-GST Menceroboh – KPN

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan tindakan kumpulan anti-cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menyerbu Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya dekat sini hari ini sebagai satu pencerobohan.

 

Tegas beliau, tindakan itu adalah satu pencerobohan dan pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya kerana perkara seperti itu tidak boleh dibiarkan berlarutan.

 

“Saya pun hairan dengan mereka. Kenapa pergi seolah-olah hendak menawan kompleks tersebut. Kalau hendak penjelasan tentang GST, itu ke caranya? Masuk pejabat kerajaan, pergi tawan, saya pun tidak faham.

 

“Ini satu pencerobohan dan biarlah pihak polis Selangor meneliti dahulu perkara berkenaan. Buat masa ini kita tahan dahulu mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Hari Polis Ke-208 di Masjid Bukit Aman di sini.

 

Terdahulu pada pukul 11 pagi hari ini kumpulan anti-GST yang dike­tuai Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertindak ganas ketika cuba untuk menyerahkan soalan-soalan tentang GST kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sehingga terpaksa dikawal oleh pihak polis.

 

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang kehadiran Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keadaan di situ, Khalid menjelaskan, itu bergantung kepada keperluan.

 

“Kalau perlu menggunakan FRU, kita gunakanlah. Itu keputusan Ketua Polis Selangor. Kalau dia perlu untuk gunakan saya benarkan,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.