Konsert Unplugged 20 Tahun Siti Nurhaliza

Tanggal 1 April ini genap 20 tahun penglibatan penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza di dalam arena seni suara.  Bagi meraikan kegemilangan itu, sebuah persembahan istimewa ‘Dato’ Siti Nurhaliza Unplugged 2015′ akan diadakan pada 7 April jam 8.30 malam bertempat di Istana Budaya.

 

Konsert yang berlangsung selama satu malam ini diadakan bersesuaian dengan slot yang diberikan oleh pihak Istana Budaya.  Peluang tersebut sebagai pembukaan kepada persembahan berskala konsert pada tahun 2015 dan disusuli denga pementasan ‘Konsert Muzikal Fragmen Siti’, selama lapan hari juga di Istana Budaya pada bulan November depan.

 

Menyedari tempoh sehari tidak cukup untuk jumlah peminatnya, Siti bagaimana pun berharap agar mereka memahami tujuan diadakan persembahan tersebut termasuk slot sehari yang ditawarkan oleh Istana Budaya.  Baginya peluang yang ada ini harus diambil dan bertepatan dengan bulan April bagi sambutan ulang tahun Siti dalam bidang seni.

 

“Siti berharap agar persembahan kali ini dapat dilihat kelainannya  berbanding konsert sebelum ini.  Saya percaya ada di kalangan peminat yang sudah lama bertanyakan penganjuran konsert akustik kerana mahu mendengar lebih kepada persembahan vokal Siti sendiri,” kongsinya teruja.

 

‘Dato’ Siti Nurhaliza Unplugged 2015’ ini pelengkap kepada perjalanan seninya selama 20 tahun kerana sepanjang tempoh tersebut, Siti belum pernah muncul dalam persembahan konsert akustik secara keseluruhan.  Persembahan lebih menonjolkan kepada vokal dan juga garapan muzik oleh Aubrey Suwito terhadap lagu-lagu yang bakal dipersembahkan nanti.

 

Persembahan yang bakal langsung selama dua jam ini dianjurkan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Istana Budaya.  Deretan lagu yang bakal dipersembahnkan terdiri daripada lagu-lagu dari album pop dahulu dan sekarang serta beberapa lagu lain untuk memberikan warna kepada persembahan.

 

Tiket untuk menonton persembahan ini boleh didapati secara online di www.AirAsiaRedtix.com dengan harga RM78, RM108, RM218, RM28, RM258, RM278, RM338 dan RM518.  Harga ini tidak termasuk caj tiket dan GST.

 

Selain itu, tiket juga boleh dibeli di Rock Corner The Gardens, KLCC, Subang Parade  dan The Curve.  Tiket juga dijual di Victoria Music di  Sg.Wang, Amcorp Mall, Tropicana Mall dan Bangsar Shopping Centre  serta di Box Office Istana Budaya.  Bagi pembelian di Pulau Pinang pula, tiket hanya boleh didapati di Artist Gallery, Gurney Plaza dan Artist Gallery, Queensbay Mall. – MediaHiburan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.