Komen Negatif Hudud Boleh Undang Tindak Balas Militan IS

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati memberi komen di laman sosial berhubung Islam dan hukum hudud di Malaysia kerana dikhuatiri boleh mengundang tindak balas daripada kumpulan militan IS.

 

Beliau berkata, IS boleh mengambil tindakan dalam pelbagai cara yang boleh menggugat keselamatan negara kerana mereka begitu sensitif dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan hukum Islam.

 

“Orang ramai perlu segera berhenti membuat komen berkenaan secara terbuka kerana sebarang komen yang berunsur negatif boleh mengundang kepada tindak balas IS. Saya tidak ingin apa yang berlaku di Perancis turut berlaku di negara kita,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri, Komander dan Komandan di  Maktab Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

 

Pada Februari lepas, IS mengancam akan melakukan serangan di Perancis melalui video ‘ajakan’ bergabung kepada Muslim Perancis membentuk ‘khalifah baharu’.

 

Khalid berkata perbincangan secara terbuka mengenai Islam dan hukum hudud yang dibandingkan dengan Perlembagaan negara juga boleh mengundang kepada kemarahan orang lain.

 

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara berkata, pihak polis terus berusaha mencari jalan  untuk menyekat fahaman IS terus menular masuk ke negara ini.

 

“Polis sentiasa berusaha mencari pendekatan terbaik bagi menyekat usaha menghasut anak muda dan rakyat kita untuk masuk IS.

 

“Kami juga tahu sejauh mana kemampuan IS dan pihak polis sentiasa melakukan pendedahan kepada masyarakat bahawa terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang kini berada di Syria bersama-sama dengan rakyat lebih 40 negara lain yang kononnya berjihad di sana,” katanya.

 

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan jumlah rakyat Malaysia yang menyertai IS di Syria, menyusup masuk pulang ke negara ini.

 

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, polis tidak memilih bulu dalam melakukan siasatan terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur  perkauman di negara ini.

 

Beliau berkata pihak polis telah memanggil tokoh politik sama ada daripada parti kerajaan mahupun parti pembangkang termasuk Ketua Wanita Umno Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberi keterangan berhubung dengan kenyataan mereka yang didakwa berbaur perkauman.

 

“Kami tidak pernah melakukan interview menerusi telefon seperti yang didakwa oleh pihak tertentu sebaliknya mereka dipanggil untuk memberi keterangan  sama seperti individu lain yang ditahan sebelum ini,” kata Khalid.

 

Beberapa pemimpin PKR sebelum ini menyoal langkah polis yang mendakwa hanya mengambil tindakan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dan bukannya anggota Umno yang dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

 

Pada Disember 2014 lalu, Mashitah tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi susulan kenyataan dibuatnya mengenai isu pembakaran Al-Quran. Beliau telah membangkitkan isu tersebut dalam perbahasannya pada Perhimpunan Agung Umno 2014 yang lalu.

 

Ismail Sabri pula tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Februari lalu, berhubung kenyataannya menggesa orang ramai memboikot  peniaga Cina berhubung kenaikan harga barang, di mana kenyataan itu menjadi viral dan menimbulkan kekecohan di media sosial. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.