Ketumbuhan Di Otak Bukan Kanser – Nazim Othman

Kuala Lumpur – Malam tadi, Nazim Othman menerusi rakaman program H!Live Apa Kata Malaysia kendalian Datuk Aznil Nawawi di saluran Astro mendedahkan penyakit sebenar yang dialami baru-baru ini.

 

Pelbagai spekulasi mula bertebaran termasuk beliau dikatakan menghidap barah otak. Namun Nazim menjelaskan dia saat ini dalam proses pemulihan selepas menjalankan pembedahan akibat ketumbuhan di bahagian otak pada 6 Mac lalu.

 

Nazim turut menafikan beliau menghidap kanser. Kata Nazim lagi menerusi program bual bicara itu, sakit yang dialaminya itu bermula sejak Januari lalu.

 

Ketumbuhan pada otaknya terletak di antara bahagian mata kanan dan di atas hidung kanannya.

 

Kata Nazim, asalnya dia terkena demam hingga disyaki mengidap demam denggi. Bagaimanapun selepas pemeriksaan darah dilakukan pihak hospital mengesahkan bahawa dia bebas daripada penyakit itu.

 

Sebulan selepas demam, kepala Nazim masih terasa sakit dan ia berlanjutan selama sebulan. Malah ia, bukan sekadar pening biasa tetapi kesakitannya terasa amat sangat.

 

“Kepala saya macam nak pecah. Saya takut. Saya berdiri pun tak boleh hingga terpaksa panggil ambulans di tengah malam kerana tak mahu kacau orang lain,” kata Nazim kepada Aznil.

 

Nazim kini tidak boleh terlalu yakin sudah pulih sepenuhnya selepas pembedahan itu.

 

Dia juga mengakui berat badannya bertambah berikutan ubat-ubatan yang diambilnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.