Kecoh Di Depan Balai Polis

KUALA LUMPUR – Lebih 100 penyokong kumpulan pembantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang ditahan bertindak agresif dengan membaling botol air selain tolak menolak pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di hadapan perkarangan Balai Polis Kelana Jaya, malam tadi.

 

Penyokong kumpulan pembantah GST itu yang berkumpul sejak 7 malam tiba-tiba bertukar menjadi kecoh sebaik dua trak polis yang membawa ahli kumpulan itu keluar dari balai berkenaan dipercayai untuk dihantar ke Lokap Berpusat Shah Alam, kira-kira 12 tengah malam tadi.

 

Bagaimanapun, keadaan tegang itu kembali tenang selepas dikawal oleh anggota polis yang ditempatkan di lokasi kejadian sebaik trak yang membawa tahanan itu keluar dari balai berkenaan.

 

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, seramai 58 Lelaki dan 21 wanita yang berhimpun membantah pelaksanaan GST ditahan di Balai Polis Kelana Jaya selepas mereka bertindak agresif dan ingkar terhadap arahan polis untuk bersurai, petang tadi.

 

Menurutnya, tindakan itu terpaksa diambil terhadap semua individu ini berikutan keengganan mereka bersurai sehingga mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.

 

“Semua individu ini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 143, Seksyen 353 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

 

“Polis sudah memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk bersurai secara aman tetapi semua individu ini tetap berdegil dan melakukan tindakan provokasi untuk mewujudkan kekacauan.

 

“Setakat ini tiada tangkapan terbaru dan pihak polis masih berjaya mengawal keadaan walaupun terdapat penyokong kumpulan berkenaan yang masih berkumpul di luar perkarangan Balai Polis Kelana Jaya,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.