Jangan Ikut Hudud Taliban, Boko Haram – Mufti Perlis

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, undang-undang hudud Kelantan perlu disemak lebih lanjut oleh pakar perundangan antarabangsa untuk memastikan ia mematuhi maqasid syariah dan sunnah.

 

Katanya, beliau bimbang semakan ke atas Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan (Pindaan 2015) itu perlu dilakukan untuk mengelakkan pelaksanaannya menemui kegagalan.

 

Katanya, pelaksanaan hudud di negara seperti Libya, Sudan, Nigeria dan Pakistan memberikan mesej bahawa syariat Islam itu tidak sesuai.
“Saya memohon agar diberikan ruang supaya enakmen itu disemak lagi oleh pakar perundangan Islam dan maqasid as-Syariah di pelbagai peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

“Semakan itu perlu agar kegagalan perlaksanaan hudud yang pernah berlaku di Libya, Sudan, Nigeria, Pakistan tidak berulang di Malaysia.

 

“(Pelaksanaan di negara tersebut) memberikan mesej salah bahawa syariat Islam itu tidak sesuai. Padahal yang tidak sesuai ialah pemilihan pandangan-pandangan ijtihad yang telah dibuat oleh mereka,” katanya.

 

Bahas secara ilmiah

 

Menurutnya secara peribadi beliau menyokong hasrat Kelantan, namun tetap berharap agar perkara itu dibincangkan di kalangan sarjana.

 

“Kita juga hendaklah mengelakkan gambaran hudud yang tidak kondusif dan seakan-akan menggambarkan kekejaman undang-undang yang telah berlaku bawah pentadbiran Taliban, cara hudud ISIS, Boko Haram dan lain-lain.

 

“Versi hudud mereka tidak memenuhi maqasid syariah yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah,” katanya.

 

Tegasnya lagi, seorang Muslim sememangnya tidak boleh menentang hudud kerana asasnya ada dalam al-Quran dan as-Sunnah.

 

Namun, masyarakat Islam juga perlu faham bahawa kebanyakan daripada butiran undang-undang tersebut tidak disebut di dalam al-Quran mahupun dalam Hadis.

 

“Walaupun kita tidak boleh membantah asas hudud dalam Islam, namun kita boleh berbeza pendapat, tidak bersetuju ataupun menolak pemilihan pandangan-pandangan sarjana dalam penetapan hukuman bagi sesuatu enakmen.

 

“Kita mungkin boleh mencadangkan pandangan yang lain dari ijtihad yang lain. Namun, proses itu semua hendaklah dalam suasana ilmiah dan menghormati hukum asas,” katanya.

 

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam satu wawancara bersama Malaysiakini mengakui bahawa enakmen tersebut mengandungi kesilapan dan akan dibincangkan lebih lanjut dalam sidang DUN akan datang. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.