Dulu Mat Rempit, Sekarang Jadi Usahawan & Ahli Politik

KUALA LUMPUR – Di sebalik sikap ramah dan mudah didekati, tiada siapa menyangka ahli politik dan usahawan, Datuk Jamal Md Yunos pernah terlibat dengan gejala ‘mat rempit’ di zaman remajanya.

 

Menyedari aktiviti tidak berfaedah itu, beliau bangkit untuk berubah menjadi insan yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

 

Berikutan kejayaannya meninggalkan dunia lumba haram,  Jamal, 44, berusaha mendidik pula ‘mat rempit’ supaya menjadi insan yang berguna kepada bangsa, agama dan negara.

 

Antaranya ialah dengan menubuhkan Kelab Motosikal ROTS (Respect Other Towards Succesful) yang kini mempunyai 10,000 anggota terdiri daripada ‘mat rempit’ di  sekitar Lembah Klang.

 

“Tujuan penubuhan kelab adalah untuk mendidik dan membina kesedaran terhadap remaja berusia 16 tahun ke atas supaya meninggalkan aktiviti ‘merempit’  dan  beralih kepada aktiviti yang mendatangkan manfaat buat masa depan mereka,” katanya kepada Bernama di sini.

 

Selaku penaung dan penasihat kepada Kelab ROTS, Jamal berkata, beliau mahu mendidik ‘mat rempit’ kerana tidak mahu golongan remaja melakukan perkara  negatif yang kelak disesali mereka.

 

“Ketika menyertai ‘mat rempit’ pada usia belasan tahun, saya dapati kumpulan ini lebih banyak mendorong kepada perkara negatif iaitu aktiviti yang tidak sihat seperti  lumba haram,” katanya.

 

Menurutnya semasa aktif sebagai ‘mat rempit’, beliau pernah kemalangan beberapa kali tetapi bernasib baik kerana tidak mengalami kecacatan kekal.

 

“Namun, parutnya masih ada,” kata Jamal, yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar.

 

“Setelah mendapat kaunseling dan nasihat dari keluarga, saya mula meninggalkan kumpulan ‘mat rempit’ dan ini banyak mengubah hidup saya sehingga berjaya hari  ini,” katanya.

 

Jamal berkata, ia adalah proses yang sukar lebih-lebih lagi untuk mendapat kepercayaan dan mendekati ‘mat rempit’ kerana mereka sukar mendengar nasihat.

 

“Kita perlu memahami apakah masalah dan kemahuan mereka terlebih dahulu sebelum memberi kaunseling. Untuk mendidik golongan ini, kita perlu kesabaran yang tinggi kerana cara pergaulan dan bahasa yang mereka gunakan adalah kasar dan berunsur lucah.

 

“Saya sendiri pada peringkat awal tidak terlepas diperli namun, akhirnya mereka dapat menerima nasihat saya,” katanya.

 

Beliau juga berkongsi rasa gembiranya dapat memujuk ‘mat rempit’ yang bercadang menyertai lumba haram, mengubah hasrat mereka kepada aktiviti konvoi  bermotosikal.

 

“Bila ada masa lapang saya, dua atau tiga kali seminggu saya akan menyertai konvoi bersama-bersama mereka dengan motosikal ‘kapcai’,” katanya.

 

Beliau berkata, beberapa anggota Kelab ROTS yang juga bekas ‘mat rempit’ juga berminat berniaga setelah diberi motivasi untuk mendapat pekerjaan tetap.

 

Untuk peringkat awal, beliau dan rakan-rakan mewujudkan tabung sebanyak RM20,00 bagi membantu mereka mendaftar perniagaan yang kebanyakannya berminat  dengan bengkel motosikal dan menjual burger, selain memberi bimbingan untuk memulakan perniagaan.

 

“Kita tidak boleh terus beri wang sebagai modal kepada mereka sebaliknya ROTS menyediakan bengkel secara percuma di Pusat Khidmat Mat Rempit sebagai  tapak awal sebelum memulakan perniagaan sendiri.

 

“Untuk permulaan, kita menubuhkan Pusat Khidmat Mat Rempit di Jalan Pahang dan ia akan dikembangkan ke lokasi lain selepas ini jika mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.

 

ROTS merancang menambah keanggotaan kepada 50,000 orang menjelang hujung tahun ini dan mengembangkan kelab itu ke seluruh negara. – Bernama/Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.