Dugong Muncul Di Perairan Segari

LUMUT – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyarankan supaya Jabatan Perikanan membuat kajian bagi mendapatkan pengesahan berkenaan kewujudan spesies ikan dugong di perairan Segari.

 

Pegawai Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman (gambar kecil) berkata, perkara itu perlu berikutan dakwaan beberapa nelayan di kawasan berkenaan yang dikatakan telah menemui spesies akuatik itu mati di lautan ketika mereka menangkap ikan.

 

Menurutnya, kes terbaharu dilaporkan, ada nelayan telah menemui spesies dugong mati di lautan antara kawasan Teluk Senangin dan Tanjung Hantu.

 

“Jadi kita menyarankan supaya pihak berkaitan membuat kajian secara teliti berkenaan perkara itu bagi membuktikan sama ada spesies ikan dugong itu benar-benar wujud di perairan berkenaan ataupun tidak.

 

“Sebelum ini memang kawasan itu tidak mempunyai rekod mengatakan adanya spesis ikan itu tetapi berdasarkan penemuan ini ia sesuatu yang baharu.

 

“Kajian secara teliti harus dilakukan oleh pihak berkenaan dengan mengambil sampel ikan yang mati berkenaan bagi menentukan adakah ia dugong atau sebaliknya. Jika bukan sekalipun mereka harus mendedahkan apa spesies ikan yang ditemui nelayan itu,” katanya.

 

Katanya, itu adalah penemuan kali kedua oleh nelayan melibatkan spesies ikan seumpama itu di perairan berkenaan.

 

Katanya, jika spesies ikan dugong berkenaan wujud di perairan itu, kerajaan negeri harus mempertimbangkan semula cadangan mereka untuk membangunkan industri perkilangan di kawasan itu.

 

“Jika kajian menunjukkan memang ada spesies berkenaan, seharusnya kerajaan negeri memikirkan semula hasrat mereka memandangkan lokasi itu perlu dipelihara dengan baik.

 

“Difahamkan juga lokasi berkenaan adalah kawasan tumpuan nelayan disebabkan banyak spesies ikan ada di sana. Ini juga menunjukkan kawasan perairannya masih lagi dalam kualiti yang baik sehingga adanya spesies ikan dugong,” katanya.

 

Katanya, penemuan itu boleh membawa kepada kebaikan kepada kawasan berkenaan bagi membantu meningkatkan bidang pelancongan.

 

“Kita sudah ada pusat penyu Segari dan jika benar-benar spesies ikan dugong ini wujud tentunya ia menjadi tambah nilai kepada kawasan ini dalam pembangunan indstri pelancongan.

 

“Kawasan ini akan menjadi tumpuan kepada pengkaji-pengkaji alam sekitar dan juga pelancong-pelancong yang tentunya memberi pulangan ekonomi baik kepada pelbagai pihak,” katanya.

 

Katanya, SAM juga akan membuat surat bagi mendapatkan pengesahan daripada pihak berkenaan sama ada ianya spesies dugong ataupun bukan.

 

“Sebab itulah kita amat berharap supaya pihak berkaitan dapat membuat kajian mengenai perkara itu bagi menentukan kesahihannya supaya dapat melaksanakan tindakan yang seterusnya,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.