DAP Bersama Pakatan Rakyat, Tolak Hadi

PETALING JAYA – DAP memutuskan untuk kekal dalam Pakatan Rakyat, tetapi akan menamatkan hubungan dan kerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa bertindak tidak jujur dan tidak bermaruah dalam pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 2015 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan minggu lalu.

 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan menghentikan sebarang kerjasama dengan beliau.

 

“Oleh kerana Hadi adalah pemimpin PAS dalam Pakatan Rakyat, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam keadaan terawang-awang.

 

“DAP akan bertemu dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membincangkan nasib Pakatan Rakyat pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

 

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menegaskan, keputusan kekal bersama Pakatan Rakyat kerana ia gabungan pentadbiran yang mewakili aspirasi semua rakyat Malaysia untuk membina Malaysia baharu.

 

“DAP menolak  pelaksanaan undang-undang hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan. Rakyat Malaysia yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum yang lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud tetapi untuk dasar bersama.

 

“Justeru, semua 37 ahli Parlimen DAP akan menolak Rang Undang-Undang Persendirian berkenaan dengan hudud yang dibentangkan oleh Hadi,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, DAP juga kesal atas tindakan Hadi yang didakwa bekerjasama dengan Umno untuk melanggari semangat konsensus serta dasar bersama yang meletakkan Pakatan Rakyat dalam bahaya. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.