Azraai Khor Abdullah Ketua Jurulatih Baharu Kelantan

KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai masa depan George Boateng terjawab selepas Kelantan membuat pengumuman melantik Mohd Azraai Khor Abdullah sebagai ketua jurulatih baharu skuad Liga Super pasukan itu, hari ini.

 

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annur Musa, hari ini menerusi akaun Facebook miliknya dengan segala perubahan yang dilakukan akan berkuat kuasa bermula esok.

 

Begitupun, Boateng tidak disisihkan dan dilantik menjawat jawatan baharu iaitu sebagai jurulatih senior TRW merangkap Pengarah Teknikal pasukan itu.

 

“Selepas berunding dan berbincang dengan semua pihak terbabit, pengurusan KAFA berpuas hati bahawa sedikit pengubahsuaian tugas perlu disegerakan demi memastikan TRW berada di tahap terbaik sebelum menjelangnya bulan April yang cukup mencabar,” katanya.

 

“Mohd Azraai Khor Abdullah sebagai ketua jurulatih TRW (The Red Warriors) dibantu oleh Zahasmi Ismail dan Mohamad Sidek.

 

“George Boateng sebagai jurulatih senior merangkap Pengarah Teknikal yang bertanggungjawab sebagai penasihat, latihan dan pembangunan staf kejurulatihan di semua tahap serta membentuk pembangunan jangka masa panjang KAFA,” kata Annuar.

 

Dalam pada itu, perubahan lain ialah pembantu jurulatih sebelum ini, Hashim Mustafa dilantik sebagai Pembantu Pengarah Teknikal dan Ketua Pencarian Bakat dan Penyelidikan.

 

KAFA membuat keputusan merombak pasukan itu selepas prestasi terumbang ambil Kelantan dalam kempen Liga Malaysia musim ini.

 

Kelantan ketika ini menghuni tangga ketujuh Liga Super selepas mengumpul tujuh mata daripada lima perlawanan.

 

Daripada lima perlawanan, hanya dua kemenangan mampu dicatatkan selain sekali seri dan dua kekalahan yang membawa kepada spekulasi kedudukan Boateng sebagai ketua jurulatih.

 

KAFA semalam dikatakan membuat pertemuan bersama kesemua staf pengurusan dan barisan pemain untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah itu. – Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.