Rakyat Palestin Berang, Kedutaan AS Pindah Mei

RAMALLAH – Rakyat Palestin menzahirkan kemarahan pada Jumaat susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) yang mahu memindahkan kedutaannya di Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada Mei, mengatakan ia boleh menjejaskan usaha ke arah proses damai di Asia Barat antara Israel dan Palestin.

Terdahulu, pergaduhan meletus di Gaza dan Tebing Barat ketika protes mingguan yang diadakan mereka sebagai menentang pendirian Presiden Donald Trump terhadap Baitulmaqdis, yang juga membangkitkan kemarahan pemimpin politik dan agama Arab Saudi.

Menurut Agensi, Perunding kanan Palestin Saeb Erekat berkata tindakan AS itu menunjukkan “satu tekad untuk melanggar undang-undang antarabangsa, menghancurkan penyelesaian dua negara dan menimbulkan provokasi terhadap perasaan rakyat Palestin serta semua orang Arab, Islam dan Kristian seluruh dunia”.

“Trump dan pasukannya telah menyebabkan AS tidak layak menjadi menjadi sebahagian daripada penyelesaian antara Israel dan Palestin. Sebaliknya, dunia kini melihat mereka sebagai sebahagian daripada masalah ini.”

Sementara itu, Nabil Abu Rdainah, jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berkata: “Ini satu langkah yang tidak boleh diterima. Sebarang langkah unilateral tidak akan memberikan legitimasi kepada sesiapa dan akan menjadi penghalang kepada usaha untuk mewujudkan keamanan di rantau ini.”

Terdahulu, AS mengumumkan pejabat baharu kedutaan AS di Baitulmaqdis akan dibuka pada Mei tahun ini selari dengan sambutan ulang tahun ke 70 kemerdekaan Israel, lapor Awani

Ia menyaksikan tarikh pembukaan kedutaan di Baitulmaqdis dipercepatkan daripada tarikh jangkaan sebelum ini berikutan pengumuman Trump mengiktiraf bandar itu sebagai ibu negara Israel Disember lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.