Titah Tuanku Buktikan Kegagalan Irda: Nur Jazlan

JOHOR BAHRU – Teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (Irda) membuktikan kegagalan instituasi itu memainkan peranan sepatutnya walaupun sudah 10 tahun ditubuhkan.

 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, titah Sultan Johor yang mahu kerajaan persekutuan mengkaji semula kedudukan Irda yang dilihat mengatasi peranan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan menunjukkan keprihatinan baginda berkaitan struktur pembangunan negeri Johor.

 

Menurut beliau, kegagalan Irda menguruskan projek pembangunan negeri dan tiada penyelarasan kerjasama dengan kerajaan negeri sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain pastinya menimbulkan kegusaran tuanku.

 
“Saya sendiri pernah membangkitkan isu supaya penubuhan Irda ini dikaji semula rentetan kewujudan pelbagai masalah seperti banjir, kelewatan siap projek dan macam-macam sehingga memberikan kesan kepada rakyat terutamanya di bandaraya Johor Bahru.

 

“Tapi pendapat saya dipandang sepi sebab siapalah saya ni. Tapi kalau tuanku sendiri sudah bertitah bermakna memang ada yang perlu difikirkan oleh kerajaan persekutuan terhadap Irda,” katanya.

 

Hari ini, Sultan Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan supaya mengkaji semula peranan Irda yang dilihat telah mengatasi kuasa kerajaan negeri.

 

Titah baginda, Irda tidak boleh mengatasi kuasa negeri dalam hal tanah, kerajaan tempatan, kerja-kerja negeri dan perancangan pembangunan negeri.

 

Jelas Nur Jazlan lagi, titah Sultan Johor itu harus dipandang serius oleh semua pihak terutamanya pihak Irda kerana baginda sememangnya cukup mengambil berat hal negeri termasuk dari aspek pentadbiran dan juga pembangunan serta kebajikan rakyat baginda.

 

Menurutnyayang juga Ahli Parlimen Pulai, beliau bukannya menafikan peranan dan fungsi Irda sebagai sebahagian agensi yang menyumbang kepada pembangunan pesat Johor, namun Irda perlu menilai semua garis sempadan bidang kuasa mereka.

 

“Saya ingin tegaskan bahawa saya bukan anti dengan Irda atau sebarang usaha pembangunan di Johor Bahru cuma adalah lebih elok sekiranya masing-masing pihak memainkan peranan mengikut bidang kuasa sahaja dan mengutamakan kesejahteraan negeri serta rakyat Johor.

 

“Sebenarnya memang banyak manfaat yang dapat diperolehi sekiranya kerajaan negeri dan Irda mempunyai penyelarasan kerja dalam setiap aspek,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.