Subahan Kamal Dipilih Ganti Azmin Ali Jadi Presiden FAS

SHAH ALAM — Teka-teki siapa bakal menduduki kerusi panas Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang kosong sejak kira-kira dua bulan lalu terjawab apabila Datuk Subahan Kamal dipilih menjawat jawatan berkenaan bagi penggal 2017-2021.

 

Perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa FAS yang berlangsung di sini semalam selepas beliau menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan selepas menerima sokongan penuh daripada 95 anggota gabungan persatuan itu.

 

Turut menang tanpa bertanding Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar bagi jawatan Timbalan Presiden.

 

Subahan dalam sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan berkata beliau dan barisan kepimpinan baharu FAS akan memastikan pasukan Selangor kekal berdaya saing dalam Liga Super musim ini.

 

“Selangor kini di kedudukan keempat dalam carta liga, walaupun dibarisi muka baharu dan pemain muda, kita mampu bersaing,” katanya.

 

Subahan berkata pada tahun ini fokus utama beliau dan barisan kepimpinan adalah untuk memastikan kewangan dan pengurusan persatuan berada di landasan yang betul.

 

“Insya-Allah pada tahun hadapan kami mampu kembali menjadi kuasa besar bola sepak negara,” katanya.

 

Pemilihan barisan kepimpinan baharu FAS yang sepatutnya diadakan pada 2018 terpaksa diawalkan setahun selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertindak meletak jawatan sebagai presiden pada Disember lepas dengan memberi alasan tidak berpuas hati dengan sikap barisan Exco yang masih dengan sikap dan budaya lama yang terlalu bergantung kepada pemberian subsidi.

 

Kemelut berterusan antara FAS dan Kerajaan Negeri Selangor itu turut mendapat perhatian peminat dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

 

Tengku Amir yang juga merupakan Penaung Diraja FAS turut menuntut agar kepimpinan persatuan itu dirombak.

 

Baginda turut mengemukakan tujuh langkah pembaharuan untuk memartabatkan kembali bola sepak Selangor.

 

Mengulas mengenai langkah itu, Subahan berkata pihaknya mengambil kira semua pandangan demi kebaikan FAS dan mahu peminat bersabar kerana sesuatu perubahan yang besar mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.