Saran Jamal Demo Depan Pejabat PM Jika Minyak Naik

SHAH ALAM – Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos disarankan untuk mengadakan demonstrasi di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya apabila berlaku kenaikan harga minyak selain menyasarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor seperti sebelum ini.

 

Saranan tersebut dikemukakan seorang peserta Wacana Sinar Harian Siri ke-45 kepada Jamal yang merupakan salah seorang panelis program.

 

Shahrizal Zulkifli berkata, masalah bukan hanya timbul di Selangor sahaja malah turut berlaku di seluruh Malaysia.

 

“Kenapa Jamal tidak berbincang dengan pihak atasan atau buat demonstrasi isu minyak naik walhal kita tahu harga minyak dunia turun?

 

“Apa kata Jamal bawa tong minyak ke pejabat PM untuk berdemo,” ujarnya dalam program yang akan berlangsung sebentar lagi di Auditorium, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, dengan tajuk ‘Politik: Perjuangan Atau Populariti’.

 

Wacana kali ini turut membariskan panelis lain, Naib Ketua AMK, Mohd Radzlan Jalaludin; Exco Pemuda Umno, Shahril Hamdan; Pensyarah kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib dan dikendalikan oleh Datuk Dahlan Maamor.

 

Menjawab kepada cadangan tersebut Jamal berkata, tidak ada gunanya beliau berdemo mengenai perkara itu kerana harga minyak ditentukan oleh pasaran dunia.

 

“Tetapi kalau turun tidak pula ada orang cakap terima kasih kepada PM,” jawabnya lagi.

 

Dalam pada itu mengulas mengenai ‘hobinya’ yang suka mengadakan demonstrasi Jamal berkata, beliau membuat demo berdasarkan isu dan bukannya syok sendiri.

 

“Isu yang saya utarakan ini seperti tiada kesudahan seperti isu air, judi, jadi kalau Selangor tiada isu insya-ALLAH muka saya tidak akan ada lagi di pejabat SUK,” katanya lagi.

 

Sementara itu, bagi meredakan keadaan, Dahlan selaku moderator menjawab persoalan mengenai demo harga minyak itu dan berkata ‘beliau ada saranan’.

 

“Solusi mengenai permasalahan minyak ini senang sahaja nak beri turun, kamu semua (peserta wacana) isi minyak di Shah Alam dan balik ke Wangsa Maju, gerenti minyak turun,” selorohnya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.