RM900,000 Baik Pulih Jalan Rosak Kuala Berang-FELDA Aring

KUALA BERANG – Kerajaan Pusat membelanjakan lebih RM900,000 setahun untuk menyelenggara kerosakan jalan sejauh kira-kira 70 kilometer (km) bermula dari Kuala Berang ke FELDA Aring, Gua Musang, Kelantan.

 

Perbelanjaan itu tidak termasuk peruntukan untuk membaiki tanah dan tebing runtuh akibat dilalui pelbagai jenis kenderaan berat termasuk treler lebih muatan yang membawa bijih besi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Awang, berkata Jalan Kuala Berang ke FELDA Aring menjadi pilihan utama pemandu treler untuk menghantar bijih besi ke Pelabuhan Kuantan, di Pahang.

 

Beliau berkata, had ditetapkan agensi penguat kuasa adalah seberat kira-kira 40 tan metrik, tetapi pemandu treler dan pengusaha bijih besi yang berpangkalan di Gua Musang memuat bahan galian itu hingga lebih 90 tan.

 

“Kajian dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri mendapati muatan berlebihan juga menghasilkan gegaran yang memberi kesan kepada lereng bukit sehingga berlakunya tanah dan tebing runtuh.

 

“Kerakusan pemandu treler menyebabkan permukaan jalan rosak teruk dan menjadi punca utama tebing runtuh sehingga jalan terpaksa ditutup kepada penggguna lain,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ditemui selepas Program Salam Qaseh Sempadan Daerah Hulu Terengganu-Kelantan Selatan di Pusat Konservasi Gajah, Sungai Deka, di sini, petang semalam.

 

Majlis perasmian dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat.

 

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Abdul Hamid Md Daud dan Pengarah Unit Komunikasi negeri, Datuk Muda Mamat.

 

Katanya, bagi mengurangkan kemusnahan permukaan jalan dan tanah runtuh, kerajaan mengarahkan agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan ke atas pemandu treler yang didapati melakukan kesalahan membawa muatan melebihi had dibenarkan.

 

“Kerajaan negeri dimaklumkan agensi penguat kuasa kerap melakukan operasi, tetapi denda dikenakan terlalu rendah dan tidak memberi kesan kepada pemandu treler. Mungkin kita boleh cadangkan agensi penguat kuasa mengenakan denda maksimum RM1,000 bagi setiap satu tan metrik muatan yang melebihi had ditetapkan bagi menangani masalah ini,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.