Nahas basikal: Polis Tahan Remaja Ajak Orang Ramai Berhimpun

Seorang remaja lelaki yang dikatakan mengajak orang ramai berhimpun bagi menghadap Sultan Johor selain bertemu polis untuk meluahkan perasaan berhubung nahas basikal awal pagi Sabtu lepas, ditahan polis kelmarin.

 

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata remaja berusia 18 tahun itu ditahan di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram kira-kira jam 1.45 pagi susulan laporan polis yang dibuat orang awam terhadapnya.

 

Laporan polis itu dibuat berhubung penyebaran satu kenyataan menerusi Facebook mengajak orang ramai, khususnya remaja berbasikal, berhimpun untuk menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta bertemu polis, katanya dalam kenyataan semalam.

 

Wan Ahmad Najmuddin berkata penyebaran kenyataan itu boleh mengganggu gugat keharmonian masyarakat dan kes disiasat menurut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

Dalam nahas basikal di Jalan Lingkaran Dalam di sini pada jam 3.30 pagi Sabtu, lapan remaja lelaki maut manakala lapan lagi mengalami kecederaan dengan dua kritikal.

 

Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang wanita dilaporkan hilang kawalan lalu merempuh kumpulan 16 remaja lelaki berbasikal terbabit.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.