Lawatan Raja Salman Perkukuh Hubungan Dagang Kata Najib

KUALA LUMPUR – Kunjungan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia bermula Ahad ini, dijangka melebarkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

 

Perdana Menteri berkata, beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) dijangka ditandatangani sepanjang kunjungan empat hari itu.

 

Beliau berkata, perkara itu adalah kesinambungan daripada hubungan perdagangan sedia ada, selain pertukaran idea dan pendapat antara individu kedua-dua negara.

 

“Salah satu daripada perjanjian itu adalah membabitkan dua syarikat terbesar milik negara iaitu Saudi Aramco dan PETRONAS yang bakal memberi manfaat kepada negara ini dan rakyatnya.

 

“Perjanjian bilateral antara Arab Saudi dan Malaysia berada pada kedudukan trajektori ke atas yang kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan, iaitu meningkat sebanyak 20 peratus pada tahun lalu sahaja, menjadikan jumlah keseluruhan RM13.12 bilion.

 

“Ketika ini, Arab Saudi adalah antara rakan dagangan terbesar Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Lawatan rasmi Raja Salman buat julung kalinya ke Malaysia selepas ditabal sebagai Raja Arab Saudi pada 23 Januari 2015, adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

 

Najib berkata, kerajaan menghargai kesudian Raja Salman memilih Malaysia sebagai negara Islam pertama di rantau ini, selain negara Asia Tenggara pertama, untuk lawatan rasminya selepas ditabalkan sebagai Raja Arab Saudi.-BH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.