Kos Tinggi Kawal Menara Trump

 

NEW YORK – Bandar Raya New York terpaksa membelanjakan kira-kira AS$24 juta (RM106.8 juta) untuk menyediakan kawalan keselamatan ke atas Menara Trump sejak hari pilihan raya hingga majlis angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat.

 

Jumlah perbelanjaan bagi bangunan pencakar langit yang merupakan kediaman asal Donald Trump di Manhattan di sini itu secara puratanya menelan kos AS$308,000 (RM1.37 juta) sehari, menurut Komisioner Polis Bandar Raya New York, James O’Neill kelmarin.

 

Pendedahan tersebut mendorong tuntutan baharu kepada Kongres untuk membayar balik kos perlindungan keselamatan itu kepada pihak bandar raya.

 

Isteri Trump yang juga Wanita Pertama AS, Melania Trump dan anak lelaki mereka, Barron masih tinggal di kediaman peri­badi setinggi 58 tingkat itu di Fifth Avenue, Manhattan.

 

“Kami sedang me­nuntut bayaran balik penuh daripada kerajaan Persekutuan untuk semua kos yang ditanggung berkaitan keselamatan Presiden Trump dan keluarganya di Menara Trump,” menurut satu kenyataan jurucakap Datuk Bandar New York, Bill de Blasio iaitu Freddi Goldstein kepada Reuters.

 

O’Neill dalam satu ke­nyataan menyatakan bahawa Jabatan Polis kini mempunyai dua tugas iaitu melindungi keluarga Trump dan penduduk di bandar ini.

 

“Menara Trump kini menjadi sasaran untuk mereka yang mahu me­lakukan serangan keganasan di negara ini, sekali gus menggunakan sumber-sumber terhad kami untuk kegiatan antikeganasan,” kata O’Neill.

 

Ahli Kongres New York, Carolyn Maloney dalam satu kenyataan kelmarin menyatakan pembayar cukai di bandar ini tidak seharusnya dipaksa membayar untuk ‘tanggungjawab keselamatan kebangsaan’ dan ‘Kongres perlu membuat bayaran balik penuh kepada pembayar cukai’. – Reuters/Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.