7 Janji Annuar Pada FAM

CALON Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa (gambar) menyebutkan tujuh langkah penting bagi memajukan sukan No 1 negara itu sekiranya diberikan mandat menerajui kepimpinan badan induk itu pada Kongres Ke-53, 25 Mac ini.

 

Annuar menerusi laman entri Facebooknya berkata, tujuh perkara itu digariskan menerusi empat teras utama dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pembangunan bola sepak negara menerusi perancangan, penyertaan, keterbukaan serta merakyatkan semula sukan berkenaan.

 

Menurutnya, perkara tersebut adalah untuk menjadikan bola sepak sebagai agenda nasional seiring Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang merupakan salah satu daripada agenda kerajaan seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu.

 

“Bukan itu sahaja, saya juga berhasrat menggubal satu ‘blue print’ merangkumi perancangan terperinci dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar bola sepak menjelang 2050.

 

“Saya juga akan memperturunkan kuasa kepada badan gabungan FAM dan mahu mewujudkan Majlis Perundingan Presiden (PCC) dengan perkongsian kekayaan diagihkan secara sama rata,” katanya.

 

Bapa pembangunan bola sepak Kelantan itu memberitahu beliau menetapkan perancangan untuk membangunkan semula Liga Malaysia (Liga M) dengan memisahkan peranan FAM dan pengelola penganjuran liga domestik serta memperkenalkan konsep ketelusan pengurusan kewangan.

 

Katanya pelan tindakan pasukan bola sepak kebangsaan juga akan diperkenalkan dengan sasaran sekurang-kurangnya berada pada kelompok 100 pasukan teratas dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

 

“Saya juga akan berusaha menjadikan FAM bebas sepenuhnya daripada rasuah dengan kumpulan sasaran adalah pihak pengurusan, pegawai dan pemain haruslah menjunjung integriti sepanjang masa,” ujarnya.

 

Annuar turut memberi bayangan untuk menubuhkan Perbadanan FAM, iaitu sebuah entiti baharu yang akan diwujudkan secara berasingan selain Yayasan FAM.

 

Katanya, fokus utama tidak lari daripada membiayai pembangunan di peringkat akar umbi demi kecemerlangan bola sepak negara.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.