Sekumpulan Pelajar Malaysia Bantu Pelarian Syria

IRBID, Jordan – Sekumpulan 12 pelajar Malaysia di Jordan memberi khidmat sukarela membantu pelarian Syria sejak tahun 2013.

 

Pelarian itu melarikan diri ekoran perang saudara di negara mereka sejak tahun 2011. Seorang daripada pelajar terbabit, Ahmad Musa Al-Nawayri Kamaruzaman, yang menuntut di Universiti Albayt, di sini berkata, mereka turut menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang diberi nama Tangisan Syria Di Bumi Jordan.

 

Ahmad Musa Al-Nawayri berkata, beliau bersama rakannya akan berada bersama-sama pelarian pada hari mereka tidak mempunyai kuliah iaitu pada Jumaat dan Sabtu.

 

“Keperitan mereka sukar digambarkan. Musim sejuk amat dirasai. Tanpa baju sejuk atau selimut, mereka tidak boleh keluar dari kem kecil mereka.

 

“NGO yang kami tubuhkan menerima sumbangan, khususnya daripada rakyat Malaysia,” katanya yang ditemui ketika kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke kawasan pelarian Mafraq.

 

Mafraq yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sempadan Jordan/Syria menjadi penempatan bagi rakyat Syria.

 

Dianggarkan lebih 1.5 juta pelarian tinggal di sempadan dengan mendirikan kem kecil tanpa kemudahan air dan bekalan elektrik.

 

Ahmad Musa Al-Nawayri, yang juga Pengerusi Tangisan Syria Di Bumi Jordan, berkata pihaknya mengendalikan 10 kem kecil, yang dihuni 80 hingga 150 pelarian dengan lebih separuh daripada mereka adalah remaja dan kanak-kanak.

 

Beliau berkata, sumbangan diterima digunakan bagi membayar sewa kenderaan untuk membawa anak pelarian ke sekolah yang disediakan kerajaan Jordan, di samping membayar sewa tapak kem kepada tuan tanah sebanyak 200 Dinar Jordan (RM1,244) setahun.

 

Sementara itu, seorang pelarian yang ditemui, Abu Hussein, 45, berkata, beliau terpaksa melarikan diri bersama isteri dan lapan orang anaknya pada tahun 2013 kerana tidak tahan menghadapi suasana tegang di negaranya.

 

“Kami tidak boleh pulang walaupun masih ada kampung halaman, tanah dan rumah. Saya berserah kepada Allah walaupun saya berasakan peluang untuk kami pulang adalah tipis,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.