Pilihan Raya AS: Lebih 13 Juta Bangsa Latin Mengundi

WASHINGTON – Lebih 13 juta bangsa Latin dijangka mengundi dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat, November ini, hampir dua juta lebih ramai berbanding tahun 2012, menurut kajian yang dikeluarkan semalam.

 

Laporan Persatuan Kebangsaan Pegawai Latino yang dipilih dan dilantik (NALEO) berkata, jumlah itu mungkin lebih tinggi bergantung kepada calon yang dipilih parti Republikan dan Demokrat serta keberkesanan kempen mendekati masyarakat Latin yang semakin berpengaruh.

 

Pengarah Eksekutif NALEO, Arturo Vargas, berkata masyarakat Latin sudah mempengaruhi pola pengundian di beberapa negeri seperti Colorado dan tiada satu kem pun dapat mengesahkan kesetiaan mereka.

 

“Dengan lebih 13.1 juta bangsa Latin dijangka mengundi untuk memastikan suara mereka didengar, tiada satu pun calon atau parti politik mampu memandang ringan sokongan kami jika mereka mahu memenangi pertandingan untuk Rumah Putih,” katanya kepada media.

 

NALEO berkata, angka terbaharu itu mewakili anggaran konservatif di negara dengan 27.3 juta pengundi Latin yang layak. Jumlah terbesar tinggal di Texas, mewakili 39 peratus daripada penduduk dan 23 peratus daripada pengundi berdaftar, nisbah hampir satu bagi setiap empat orang. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.