Najib Sokong Gerakan Ini – Vincent Tan

KUALA LUMPUR – “Saya faham bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak sangat menyokong gerakan ini berikutan kunjungannya ke Filipina baru-baru ini bersama ahli kabinet, Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak,” kata pengasas Berjaya Group Tan Sri Vincent Tan.

 

Beliau berkata demikian demi mewujudkan yayasan ‘Gerakan Keharmonian Masyarakat’, seperti Gawad Kalinga (sebuah gerakan yang berpangkalan di Filipina).

 

Menurut Tan, penubuhan yayasan tersebut sebagai usaha menghapuskan kemiskinan yang akan dilaksanakan Gawad Kalinga dengan kerjasama Berjaya Group ke atas golongan miskin yang memerlukan di Malaysia.

 

Sehubungan itu katanya, ia akan dimulakan di Malaysia dengan sebuah projek yang dirancang di Sabah.

 

Katanya lagi, melalui Berjaya Filipina Inc, pada 2012 beliau menyumbang PHP300 juta (RM26.6 juta) dalam tempoh tiga tahun untuk Gawad Kalinga dengan pembinaan 3,000 unit rumah bagi rakyat Filipina yang terjejas kediaman mereka oleh Taufan Sendong, serta kemiskinan yang menimpa keluarga di negara tersebut.

 

Setakat ini, Berjaya telah membantu membina lebih daripada 800 buah rumah di Filipina dengan kerjasama Gawad Kalinga.

 

Sementara itu, Pengasas Gawad Kalinga, Tony Meloto berkata pergerakan itu akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Sabah untuk melihat sejauh mana penubuhan rancangan tersebut di negeri itu.

 

“Kami akan melawat Sabah tidak lama lagi. Saya rasa ini adalah satu perkongsian yang sangat penting antara Malaysia dan Filipina.

 

“Kami merasakan bahawa kita benar-benar perlu memberi tumpuan dalam membantu golongan miskin, sama ada mereka adalah warga Filipina atau Malaysia. Kami cuba untuk membina jalinan persahabatan dan perpaduan,” katanya pada sidang akhbar di Berjaya Times Square di sini hari ini.

 

Meloto berkata, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak telah melawat beberapa kampung Gawad Kalinga di Manila dan percaya bahawa model yang sama boleh dilaksanakan di Malaysia.

 

Terdahulu, Gawad Kalinga bermaksud ‘memberi penjagaan’ telah ditubuhkan pada tahun 2003 dengan tujuan untuk membasmi kemiskinan di Filipina.

 

Ia telah berkembang menjadi sebuah gerakan global di negara-negara seperti Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat, Perancis dan Papua New Guinea.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.