Video: Menara MITI Tingkat Imej Negara Di Mata Pelabur – PM

Kuala Lumpur – Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang dilancarkan Perdana Menteri hari ini diharap mampu meningkatkan imej negara di mata pelabur asing.

 

Datuk Seri Najib Razak berkata, pembinaan bangunan setinggi 31 tingkat dengan nilai RM342 juta itu satu pelaburan jangka panjang yang akan merangsang keyakinan pelabur.

 

 

“Bayangkan ketua pegawai eksekutif dengan perolehan bilion ringgit datang ke Malaysia pastilah beliau mahu berjumpa dengan menteri atau pegawai-pegawai MITI.

 

“Jadi untuk itu, pandangan pertama terhadap MITI haruslah bagus. Imej MITI akan lebih baik dengan bangunan ini. Pelaburan untuk membina Menara MITI penting untuk masa depan negara kerana kementerian ini bertanggung jawab untuk memastikan makro ekonomi, lebihan akaun berterusan.

 

“MITI juga bertanggung jawab meingkatkan eksport, perniagaan domestik dan perusahaan kecil dan sederhana terus berkembang,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Menara MITI di sini hari ini.

 

Ibu pejabat MITI yang selama ini masih kekal beroperasi di bangunan lama di Kompleks Kerajaan Jalan Duta sedangkan kementerian-kementerian lain sudah berpindah ke pejabat yang lebih canggih di Putrajaya sejak hampir 20 tahun lalu.

 

Dalam pada itu, Najib turut mengucapkan syabas kepada komitmen dan dedikasi pasukan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang diketuai kementerian yang sama sehingga berjaya dimeterai mengikut terma yang memberi kelebihan kepada Malaysia.

 

“Berat mata memandang, berat lagi bahu Tokpa (Datuk Seri Mustapha Mohamed) dan pasukannya memikul. Rundingan TPPA bukan mudah tetapi hasil dedikasi semua pihak kita berjaya memeterainya dengan terma yang kita persetujui,” katanya lagi. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.