Mahathir Sedia Kongsi Sel Dengan Anwar Dalam Penjara

Putrajaya – Demi terus mengkritik kerajaan, Tun Dr Mahathir Mohamad rela dipenjara, walaupun berkongsi kurungan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Buloh.

 

Bercakap kepada media selepas disiasat polis berhubung artikelnya awal bulan ini, mantan perdana menteri berkata beliau sanggup ditahan bersama bekas timbalannya itu.

 

“Saya sedia menerima akibatnya kerana keprihatinan saya demi rakyat dan negara ini, dan untuk itu, saya akan terus bersuara walaupun ia bermakna dipenjara di Sungai Buloh dan berkongsi sel dengan Anwar,” katanya.

 

Sebelum ini Dr Mahathir dilaporkan berdepan siasatan Seksyen 500 Kanun Keseksaan berhubung tulisan “AG to AG” di blognya pada 3 Februari lepas yang dianggap menghasut.

 

Melalui tulisan itu, Dr Mahathir mengecam Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menutup kes derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 

Tiga pegawai polis mengambil keterangan negarawan itu di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hampir dua jam.

 

Anwar sudah setahun dipenjara di Sungai Buloh setelah didapati bersalah meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.