Jangan Panik, Gegaran Lemah Di Tasik Kenyir

KUALA TERENGGANU – Kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, malam tadi, adalah yang ketiga direkodkan sejak 36 tahun lalu. Berdasarkan rekod Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi pertama direkodkan di kawasan berkenaan pada tahun 1980 ketika proses pengisian air di empangan Tasik Kenyir.

 

Pengarah Jabatan Meteorologi Terengganu, Jenuwa Husin, berkata gegaran yang direkodkan ketika itu adalah 4.6 skala Richter iaitu yang terkuat pernah dicatat di negeri ini.

 

Katanya, kali kedua gempa bumi dikesan adalah pada Mac 2010, yang menyebabkan gegaran sekuat 2.6 skala Richter berpusat di 43 kilometer barat daya Kuala Terengganu dan 22 kilometer barat Kuala Berang.

 

“Malam tadi, Jabatan Meteorologi mengesan satu gegaran kecil berukuran 2.7 skala Richter di Tasik Kenyir, kira-kira jam 9.25 malam.

 

“Berdasarkan laporan, gegaran itu dikesan berlaku di 16 kilometer barat daya daerah Kuala Berang pada kedalaman 10 kilometer dan boleh dirasai di sekitar lokasi terbabit,” katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

 

Beliau turut menafikan gegaran itu berpunca daripada kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di lokasi berkenaan seperti yang disebarkan di media sosial.

 

“Gegaran dipercayai berlaku akibat pelepasan gas tektonik dari garis sasar atau garisan gempa bumi.

 

“Orang ramai tidak perlu panik kerana gegaran itu sangat lemah,” katanya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.