Isu Jelir Lidah Di Mekah, Sakinah Akui Jahil, Mohon Maaf

Pelakon Sharifah Sakinah berharap isu gambar yang menunjukkan dia menjelir lidah berlatarbelakangkan satu lokasi di Mekah tidak terus diperbesarkan.

 

Memetik laporan Kosmo!, Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 26, memohon maaf dan berharap perbalahan antara pengikutnya di laman sosial Instagram tidak terus berpanjangan

 

“Beginilah, sebenarnya saya tidak mahu hal itu dipanjangkan lagi. Kalau apa yang saya lakukan itu membuat peminat bergaduh di laman sosial, saya betul-betul minta maaf.

 

“Saya tidak mahu disebabkan saya, orang bergaduh atau memaki hamun tidak tentu pasal. Bagi saya senang sahaja, apabila saya buat salah, saya minta maaf dan tidak mahu menyimpan dendam dengan orang lain. Jadi saya salahkan diri sendiri di atas kejahilan atau kesalahan saya,” katanya.

 

Tambahnya, dia tidak mahu ambil pusing mengenai kritikan segelintir pihak terhadap dirinya namun dia berharap jika ada mana-mana pihak yang mahu memberikan pendapat atau nsihat kepadanya janganlah melemparkan dengan kata-kata kesat dan kasar.

 

“Mereka mempunyai hak untuk bersuara. Cuma, saya fikir apabila meluahkan sesuatu perkara atau pendapat, usah gunakan bahasa yang kasar atau kesat.

 

“Sebaliknya, bersopan santunlah berkongsi pendapat kerana itu sememangnya budaya kita. Saya tahu niat mereka baik iaitu untuk menegur. Seperti yang saya katakan tadi, guna perkataan yang mencerminkan keperibadian yang baik. Itu adalah lebih baik dan berkesan.

 

“Biarlah, mulut orang mahu cakap. Biarkan sahaja. Apa yang telah saya lakukan tidak kiralah perkara baik atau buruk, itu antara saya dengan Tuhan.

 

“Saya harap perubahan positif dalam diri saya sebagai seorang muslimah berlaku perlahan-lahan, Insya-Allah,” tuturnya yang baru pulang dari menunaikan umrah bersama suaminya, Alif Adha Jamil, pada 15 Februari lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.