Tiga Pelan Keselamatan Siber Bermula 2015-2050

MELAKA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) telah merangka tiga pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memperkukuh keselamatan dan melindungi ruang siber negara bermula tahun ini sehingga 2050.

 

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, pendekatan itu juga bertujuan melindungi pengguna daripada menjadi mangsa siber serta menangani isu keselamatan siber yang dilaporkan meningkat kepada 11,918 kes tahun lepas berbanding 10,636 kes tahun 2013.

 

Beliau berkata, antara pendekatan jangka pendek (2015-2020) adalah memperkukuh pemboleh keselamatan siber sedia ada antaranya termasuk mencari kaedah akses yang selamat, memperkenalkan e-forensik, sistem integriti, mewujudkan hubungan amanah dan sistem ketersediaan tinggi.

 

“Dalam fasa ini juga kita akan menilai semula Strategi Keselamatan Siber Kebangsaan yang meliputi pendidikan dasar selain memberi tumpuan pada input dan penglibatan antara industri, ahli akademik dan wakil rakyat.

 

“Kerjasama antarabangsa juga merupakan fokus utama dalam pelan jangka pendek kerana kebanyakan jenayah siber berlaku merentasi sempadan dan kita berharap jalinan yang diwujudkan akan memastikan isu keselamatan siber global dapat ditangani dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama antara Politeknik Merlimau Melaka dan Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd di sini, hari ini.

 

Nota kerjasama tersebut bertujuan menyediakan latihan industri yang kompeten bagi memberi pendedahan dan pendidikan kepada pelajar Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti politeknik berkenaan.

 

Abu Bakar berkata, tumpuan akan turut diberikan bagi membangunkan tenaga manusia dalam bidang siber termasuk mewujudkan reka bentuk makmal yang selamat dan pensijilan keselamatan ruang siber.

 

Selain itu, usaha akan dilakukan bagi memperkukuh program inovasi dan pengkomersialan keselamatan siber serta penyelidikan dan latihan berkaitan data dan keselamatan siber bagi pelan jangka sederhana bermula 2021 hingga 2035, katanya.

 

Beliau berkata, peruntukan yang besar akan diberikan bagi menjalankan penyelidikan dan latihan berkaitan data agar sistem keselamatan siber negara berada pada tahap selamat.

 

Katanya pelan jangka panjang (2036-2050) pula akan meliputi aspek jaminan data dan hab e-dagangan bagi memastikan ekonomi pintar dan model ekonomi digital baharu dapat diwujudkan.

 

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar Mosti telah membelanjakan RM724.2 juta meliputi dana penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan bagi meluluskan 1,555 projek dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

 

“Dalam tempoh itu juga, sebanyak 356 projek telah berjaya disiapkan manakala 240 produk berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya. – Bernama / Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.