Tele-Sidang Mahfuz: Nampak Sangat Dia Nak Bodoh Media – Syed Ali

Kuala Lumpur – ‘Drama’ eksklusif secara langsung oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam usahanya mendedahkan pembunuh sebenar model Mongolia, Altantuya Shariibuu menerusi telesidangnya bersama bekas Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Omar semalam dilihat ‘memakan’ diri sendiri apabila lakonan hebatnya itu menyebabkan beliau disaran menyertai program realiti Maharaja Lawak 2015.

 

Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menerusi catatan terbarunya di blog, umnobahagiancheras.

 

Malah, menurut Syed Ali, petugas media yang hadir untuk telesidang tersebut di ibu pejabat parti PAS itu turut dipermainkan Mahfuz menerusi ‘lawak bodoh’ berkenaan yang tidak boleh diterima akal.

 

“Oleh sebab itu, pada pemerhatian saya, rasanya dia (Mahfuz) amat sesuai dan berkelayakan untuk menyertai program realiti Maharaja Lawak musim 2015,” katanya.

 

Mahfuz sebelum ini membuat kejutan dengan memanggil sidang media kononnya akan menelefon Sirul yang kini difahamkan berada di bawah tahanan pihak Imigresen Australia bagi mendedahkan maklumat terkini mengenai kes pembunuhan warga Mongolia itu.

 

Bagaimanapun, usaha yang dilakukan Ahli Parlimen Pokok Sena itu seakan tidak membuahkan hasil dan menemui jalan buntu apabila beliau gagal menghubungi Sirul selepas lebih kurang lima belas kali percubaan panggilan dibuat Mahfuz.

 

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Syed Ali menambah, drama yang dicipta Mahfuz sekadar gimik politik PAS untuk mengalih perhatian umum terhadap krisis kepimpinan yang sedang berlaku dalam parti itu sekarang.

 

“Untuk tutup isu ulama nak jatuhkan Presiden PAS, Mahfuz buat drama lawak dengan menjadikan Sirul sebagai watak utama, tetapi lucunya lakonan Mahfuz tidak menjadi kali ini.

 

“Nampak sangat dia nak perbodohkan pihak media,” tegasnya dalam kenyataan sama.

 

Dalam perkembangan sama, Syed Ali turut membidas dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes pembunuhan tersebut yang mempersoalkan kenapa Najib tidak memberi arahan supaya siastan terhadap kes itu dibuka semula.

 

“Nampaknya Mahfuz yang sebenarnya yang sudah mengarut, mengapa nak paksa Najib buka semula kes tersebut.

 

“Saya hairan kenapa Mahfuz sengaja serang Najib, cuba nak kaitkan Perdana Menteri dengan kes pembunuhan Altantuya, ini semua provokasi jahat dan serangan politik PAS untuk menanam persepsi buruk terhadap kerjaaan,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.