Penyamun Curi 30 Kereta Tumpas

Gombak – Polis berjaya menemui semula 30 kenderaan curi yang dilaporkan sekitar daerah ini selepas tertangkapnya tiga suspek termasuk seorang wanita pada 13 Februari lalu.

 

Difahamkan, salah seorang suspek yang menjalankan kegiatan bekas pekerja penarik kenderaan yang berupaya membuat kunci pendua yang membolehkan kenderaan dapat dilarikan dalam tempoh lima minit.

 

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, suspek ditahan di Rawang selepas anggota polis yang menjalankan rondaan mendapati sebuah kereta yang dilaporkan hilang diletakkan di tepi jalan.

 

“Ketika itu, terdapat dua suspek cuba membawa kereta berkenaan sebelum tangkapan dibuat. Semua suspek berusia lingkungan 27 hingga 45 tahun itu dipercayai aktif mencuri kenderaan sejak setahun lalu.

 

“Kumpulan ini menyasarkan kenderaan lama kebanyakannya jenis Proton Saga dan Iswara yang diletakkkan di kawasan perumahan, tepi jalan dan berhampiran pusat beli belah sebelum ia dijual kepada pembeli di luar kawasan Gombak,” katanya dalam satu sidang media di sini tadi.

 

Beliau berkata, taktik mencuri kereta terbabit juga hanya dilakukan terhadap kereta model yang tidak mempunyai sistem anti kecurian. -Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.