‘PAS Tidak Akan Sesekali Bergabung Dengan UMNO’, kata Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan sesekali bergabung dengan UMNO sebagaimana yang kecoh dibicarakan dalam media sosial sekarang, kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini dalam sebuah kenyataan rasmi.

 

Menurutnya, perkara penggabungan PAS-UMNO tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat parti.

 

“Sudah tidak terbilang kalinya ditegaskan bahawa tidak timbul soal penyatuan kedua-dua parti ini. PAS ada 21 kerusi parlimen, UMNO mempunyai 88 kerusi parlimen. Jika bergabung, UMNO nak bagi berapa kerusi kepada PAS?

 

“Daripada sudut ini sahaja, tuduhan bahawa PAS akan bergabung dengan UMNO sudah tidak masuk akal,” ujar Tuan Ibrahim.

 

Tambahnya, Presiden PAS telah menegaskan hal tersebut dalam sidang Muktamar lalu dan sebelumnya bahawa PAS tidak akan bergabung dengan UMNO. Perkara dasar itu harus melalui keputusan Muktamar dan bukan hanya pandangan peribadi ahli parti.

 

“Jikalau atas alasan untuk melaksanakan sistem perundangan Islam, UMNO sudahpun boleh melaksanakannya seandainya betul ingin melaksanakannya di semua negeri yang diperintahnya.

 

“Berdekad-dekad UMNO menentang hudud dan memperlekehkan hukum Allah ini, dan tidak menggunakan al-Quran dan Hadis sebagai rujukan tertinggi parti. Apakah mungkin tiba-tiba UMNO betul ingin membantu PAS melaksanakannya?” kata Tuan Ibrahim.

 

Tuan Ibrahim mendakwa, UMNO melakukan apa sahaja ketika ia memerlukan bantuan namun pengalaman lampau menunjukkan bahawa apabila ia kuat, PAS ditunjukkan ‘jalan keluar’ daripada muafakat yang ada.

 

Bekas ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka itu seterusnya mendakwa UMNO telah lama menindas rakyat Kelantan dengan menafikan royalti minyak, pembangunan, lebuh raya, lapangan terbang dan tidak menghormati sistem federalisme.

 

“Kalau hujahnya adalah untuk perpaduan Melayu, biarlah orang Melayu bersama dengan PAS bagi membentuk sebuah kerajaan baharu berteraskan Islam,” ujar Tuan Ibrahim.- Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.