PAS Dan UMNO Perlu Bekerjasama Secepat Mungkin – Dr Asri

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara PAS dan UMNO perlu dilaksanakan secepat mungkin dan merupakan suruhan agama jika ia satu usaha yang membawa ke arah kebaikan, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin.

 

Dr Asri berkata, setelah sekian lama PAS berjuang di luar untuk membaiki politik UMNO, parti Islam itu boleh mencuba pula dalam satu kerajaan.

 

“Kerjasama bukan bermaksud menghapuskan identiti tetapi gabungan yang mengekalkan identiti namun sering ‘pesan memesan kepada kebenaran dan kepada kesabaran’ seperti arahan dalam Surah al-Asr,” tulis beliau di laman Facebook peribadinya hari ini.

 

Katanya, ruang untuk persaingan politik dengan idea-idea baru akan muncul lebih subur jika PAS dan UMNO membentuk kerjasama.

 

“Di pihak kerajaan akan terasa saingan dalaman yang baru. Di pihak pembangkang akan membuka ruang kepada platform baru politik menggantikan tempat PAS. Moga ia baik untuk negara di sudut ‘politik idea’,” tulis beliau lagi.

 

Beliau juga berpendapat, selama ini terdapat banyak titik persamaan antara PAS dan UMNO terutama di sudut aliran kefahaman Islam kedua parti itu.

 

“Hanya bahasa yang berbeza, tapi isi mereka banyak yang sama. Golongan muslim yang lebih progresif mungkin akan mempunyai ruang baru yang jelas di medan siyasah dengan hilangnya bayangan Islam PAS yang selama ini dilihat pelbagai versi,” katanya lagi.

 

Dr Asri berkata, kerjasama PAS dan UMNO itu boleh dijadikan sebagai medan rakyat menguji kejujuran politik antara kedua parti Melayu-Islam itu dan penilaian secara matang dapat dilakukan.- Awani

 

Dr Asri Gesa Kerjasama Pas & UMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.