Kerusi Permatang Pauh Hanya Kosong, Selepas Proses Pengampunan Selesai – Speaker

Kuala Lumpur – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh akan mula berkuatkuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan diputuskan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

 

Pandikar melalui satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi berkata, pihaknya telah menerima salinan petisyen tersebut yang difailkan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah, Nurul Izzah Anwar dan Nurul Nuha Anwar.

 

“Memandangkan satu petisyen telah difailkan di bawah perenggan (C), Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, maka kehilangan kelayakan Yang Berhormat Permatang Pauh hanya akan mula berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen itu diputuskan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

 

“Sehubungan itu, saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat hanya boleh mengemukakan pemberitahuan selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik sahaja kehilangan kelayakan Yang Berhormat Permatang Pauh sebagai ahli parlimen mula berkuat kuasa mengikut perenggan (C) Fasal (4), Perkara 48 Perlembagaan Persektuan” ujarnya melalui kenyataan yang dikirimkan kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

speaker

 

Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfailkan rayuan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, pada saat-saat akhir terhadap hukuman penjara lima tahun yang dihadapinya atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

 

Notis tersebut difailkan bagi mengelakkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh.

 

Tempoh bagi Anwar membuat permohonan pengampunan kepada Agong berakhir hari ini.

 

Usaha memohon pengampunan ialah langkah terakhir untuk membebaskan Anwar selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan sabitan dan hukuman penjara 5 tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

 

Permohonan pengampunan juga akan menyebabkan SPR tidak dapat mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang Anwar sehingga kesemua proses selesai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.