IS Rekrut Kanak-Kanak Jadi Militan

DAMSYIK – Kumpulan militan Negara Islam (IS) memperhebatkan kempen propaganda dengan menyiarkan video terbaharu yang menunjukkan go­longan kanak-kanak seawal usia lima tahun menjalani latihan ala ketenteraan untuk menjadi rekrut muda kumpulan militan itu.

 

Video tersebut menunjukkan sekumpulan kanak-kanak menghadiri latihan ketenteraan di kem latihan yang diberi nama Institut Al Farouq untuk Anak Singa kumpulan itu, yang dipercayai terletak di wilayah Raqqa, Syria.

 

Menurut laporan portal berita Mail Online, video selama sembilan minit yang disiarkan sejak semalam itu, turut menunjukkan kanak-kanak lengkap berpakaian tentera sedang berbaris dalam satu formasi serta mengikut arahan daripada seorang anggota militan dewasa yang dilihat bertindak sebagai guru kepada golongan kecil tersebut.

 

Laporan media tempatan, Syria Deeply pula menyebut, la­tihan itu merupakan cara militan IS ‘membasuh otak’ kanak-kanak berkenaan dengan fahaman pe­lampau sebelum direkrut menjadi anggota militan.

 

Tambah laporan berkenaan, sejak militan IS menawan bandar Raqa, kebanyakan penduduk di wilayah itu melarikan diri ekoran bimbang dengan penyebaran ideologi secara paksa terhadap semua lapisan masyarakat.

 

Seorang bapa yang enggan dikenali berkata, militan IS meng­ancam nyawanya apabila dia membantah tindakan kumpulan pelampau berkenaan memaksa anaknya berusia 13 tahun menjalani latihan ketenteraan.

 

Kegiatan militan IS merekrut kanak-kanak menjadi anggota militan telah lama berlaku ekoran penyebaran gambar bayi bersama senjata dan kanak-kanak memegang kepala mangsa yang dipancung melalui laman sosial.

 

Kumpulan militan itu juga dilaporkan menjadikan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun sebagai rekrut muda yang diajar cara menggunakan senjata dan cara memancung kepala individu yang dianggap musuh dengan menggunakan patung. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.