Ibu Muda Terpaksa Besarkan Anak Bawah Jambatan

AYER KEROH – Seorang wanita mendakwa dia bukan sahaja ditinggalkan suami malah turut di singkir keluarga dan terpaksa menetap di bawah jambatan berhampiran tebing Sungai Melaka sejak hampir tiga tahun lalu.

 

Paling menyedihkan apabila wanita berkenaan, Siti Nuurul Aini Mohamad Nor, 28, terpaksa membesarkan anak keduanya, Nash Rullah Iskandar dalam keadaan gelandangan sejak bayi itu dalam kandungan.

 

Menurut wanita yang berasal dari Taman Maju, Jasin itu, dia hanya bergantung makanan dan membeli susu serta lampin pakai buang anak daripada wang hasil pemberian orang ramai yang lalu lalang di kawasan berhampiran dekat Jambatan Catay di tebing Sungai Melaka.

 

“Setiap kali saya lapar atau untuk beli susu anak, saya akan minta orang ramai yang lalu lalang namun itu pun ada kalanya kami tidak makan. Ada kalanya, bila diperlukan saya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan anak terpaksa dijaga sementara oleh rakan gelandangan lain.

 

“Sebagai balasannya, saya akan bawa pulang sisa lebihan lauk serta nasi yang tidak terjual untuk mereka.

 

“Tidur saya pula setiap hari, hanya bersandarkan tembok manakala bayi kecil saya baringkan dengan beralaskan kotak. Bila dia kesejukan saya alih ke pangkuan” katanya yang memohon bantuan daripada Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri Melaka di pejabat agensi itu, di sini, semalam.

 

Jelas Siti Nuurul Aini lagi, dia juga mempunyai seorang lagi anak berusia enam tahun tetapi dijaga oleh bapanya di Jasin.

 

“Saya berkahwin dengan suami yang juga orang Jasin kira-kira tujuh tahun lalu. Perkenalan kami atas suka sama suka namun tidak direstui keluarga sebelah mertua.

 

“Akibat perselisihan faham dengan keluarga sebelah saya, akhirnya saya dihalau keluar dari rumah manakala semua adik beradik yang lain turut menyisihkan saya.

 

“Nasib baik saya menemui seseorang individu yang terus membawa dan memperkenalkan saya dengan Pembela BN.

 

Saya berharap mereka dapat membantu saya, sekurang-sekurangnya untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi membeli susu serta lampin pakai buang anak,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz yang bersimpati dengan nasib yang menimpa wanita berkenaan terus merujuk perkara itu ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Melaka Tengah.

 

“Dengan bantuan Pegawai Kebajikan Daerah Melaka Tengah, Zaharuddin Ramna, JKM berjanji memberikan bantuan bulanan serta bantuan segera berbentuk wang tunai dan lampin pakai buang bagi keperluan bayinya.

 

“Malah, pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Daerah Jasin juga bersedia membantu memberikan bantuan bagi pembayaran deposit sewa rumah bagi kemudahan wanita berkenaan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.