Hudud: Bukan Islam 
Tidak Perlu Bimbang

KOTA BHARU – Masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 atau hukum hudud dan qisas di negeri ini kerana undang-undang tersebut tidak melibatkan mereka.

 

Ketua Sekretariat Tetap Hudud negeri, Datuk Takyuddin Hassan berkata, perkara itu termaktub dalam pindaan Seksyen 2 enakmen tersebut yang akan dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri, bulan depan.

 

Beliau berkata, sebelum ini, berdasarkan enakmen tersebut, masyarakat bukan Islam diberi pilihan untuk diadili mengikut enakmen tersebut atau undang-undang sivil.

 

Bagaimanapun, jelas Takyuddin, dengan pindaan yang akan dilakukan tidak lama lagi, kanun jenayah itu hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja.

 

“Di bawah seksyen ini, hudud hendaklah terpakai ke atas orang Islam bagi apa kesalahan di bawah kanun ini yang dilakukan dalam negeri Kelantan. Hukum ini untuk masyarakat Islam, jadi orang bukan Islam tidak perlu bimbang,” kata­nya ketika majlis taklimat Enakmen Jenayah Syariah (2) 1993 kepada media di sini malam tadi.

 

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

 

Takiyudin yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas berkata, selain itu, pindaan terhadap enakmen tersebut turut melibatkan kesalahan liwat melibatkan suami isteri yang akan dihukum mengikut takzir.

 

“Sebelum ini, enakmen ini hanya melibatkan kesalahan liwat membabitkan seorang lelaki dengan seorang lelaki atau di antara lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan diluar tabie iaitu melalui dubur.

 

“Disebabkan ada kekaburan sehingga menimbulkan isu di sini maka ada pindaan di lakukan di mana akan ditambah suami yang meliwat isteri akan dihukum mengikut takzir,” katanya.

 

Tambahnya, kedua-dua pindaan tersebut hanya sebahagian daripada penambahbaikan kepada enakmen tersebut yang dibentangkan dalam sidang DUN nanti.

 

Sementara itu, beliau berkata, Pas Kelantan mengakui UMNO telah memberikan sokongan sepenuhnya untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di negeri ini.

 

“Semasa pengundian dijalankan pada 25 November 1993 untuk meluluskan enakmen ini, kesemua 34 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan Barisan Nasional (BN) bersetuju malah ADUN Limbongan, Datuk Wan Mohamad Najib Wan Mohamad dari BN berkata bersetuju sangat.

 

“Orang lain (wakil Pas) kata setuju, dia (wakil BN) bersetuju sangat. Oleh itu, kalau kata UMNO tidak sokong hudud tidak betullah,” katanya.

 

Tambahnya, malah kini, wujud kerjasama di antara Kerajaan Pas Kelantan dengan Kerajaan Pusat untuk merealisasikan enakmen tersebut.

 

“Dua perkara perlu dibentangkan di Parlimen iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Perkara 76A (1) Perlembagaan untuk memberikan kuasa kepada negeri melaksanakan undang-undang.

 

“Hasil kesepakatan ini, kita akan membawa rang undang-undang persendirian untuk meminda Perkara 76A (1) manakala Kerajaan Pusat akan membawa Akta Mahkamah Syariah ke Parlimen untuk pindaan,” katanya yang yakin akan mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Islam nanti.

 

Sementara itu, Mohd. Amar berkata, Kerajaan Pas Kelantan tetap akan membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 dalam sidang DUN Kelantan pada 16 sehingga 19 Mac depan. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.