Cuaca Panas Diramal Berakhir Hujung Mac – Jabatan Meteorologi

PUTRAJAYA: Cuaca panas dan kering yang kini dialami kebanyakan kawasan dalam negara adalah fenomena fasa akhir musim tengkujuh dan diramal berlaku hingga penghujung Mac, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail.

 

“Kini penghujung Monsun Timur Laut yang menyebabkan kebanyakan kawasan kurang menerima hujan dalam tempoh yang panjang, sekali gus menjurus kepada berlakunya cuaca panas dan kering,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Amanat 2015 oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin di sini hari ini.

 

Che Gayah berkata keadaan cuaca sekarang belum mencapai tahap ‘gelombang panas’ dan masih dikategorikan sebagai normal.

 

Ditanya sama ada suhu cuaca panas dan kering berbeza berbanding tahun lalu, beliau berkata: “Saya tidak nampak banyak perbezaan. Kalau suhu adalah tolak campur tiga darjah celsius, ia adalah normal.”

 

Suhu di Malaysia ketika ini ialah sekitar 33 hingga 35 darjah celsius.

 

Mengikut Che Gayah, musim peralihan monsun akan bermula menjelang bulan April hingga pertengahan Mei, yang mana negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung akan mengalami cuaca lebih lembap dan ribut petir di sebelah tengah hari dan petang.

 

Hujan lebat dan ribut petir adalah biasa sebelum berlakunya Monsun Barat Daya bermula Jun hingga September, yang akan menyebabkan negara menjadi kering dan dilanda jerebu.

 

Jabatan Meteorologi hanya akan melakukan pembenihan awan apabila jerebu memasuki tahap berbahaya kepada kesihatan rakyat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

 

“Jabatan Meteorologi sentiasa sedia melakukan pembenihan awan dengan syarikat penerbangan swasta bagi mengatasi masalah ini. Ada kalanya, operator empangan juga melaksanakan pembenihan awan untuk meningkatkan tahap air. Sekiranya mereka meminta bantuan, kita sedia membantu,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.