Air Empangan, Kolam Mencukupi – Kerajaan Selangor

SHAH ALAM – Kerajaan negeri sudah bersedia untuk menghadapi fenomena Ekuinoks atau musim kering yang dijangka berlaku Mac depan dan yakin paras empangan di Selangor cukup untuk mengagihkan sumber air kepada rakyat negeri ini.

 

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Indsutri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, paras empangan kini berada di tahap baik dan negeri juga masih menerima hujan sekali gus membuatkan keadaan masih terkawal.

 

“Setakat semalam, paras empangan Sungai Selangor ialah 78.57 peratus dan masih dalam kapasiti yang cukup baik. Kita juga terima hujan sebanyak 0.80 milimeter.

 

“Keadaan ini kita boleh katakan baik berbanding dengan tahun lepas paras empangan turun hingga 65.5 peratus pada penghujung tahun lalu.

 

“Kita juga mempunyai kolam takungan yang mampu menyalurkan air kepada pengguna jika paras empangan tidak mampu menampung permintaan pengguna dan kolam takungan itu mampu menyalurkan air hingga 800 juta liter sehari.

 

“Dengan itu, kita cukup optimis keadaan tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

 

Beliau menambah, pembenihan awan juga bukan sesuatu yang perlu buat masa ini disebabkan paras empangan yang masih baik dan tidak membimbangkan.

 

Bagaimanapun, beliau tidak menolak jika ia terpaksa dilakukan malah bersedia untuk melakukannya bila-bila masa sahaja.

 

Menurut Zaidy, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hanya membekalkan air terawat kepada pengguna, namun pelepasan air di empangan bergantung kepada kuasa kerajaan negeri.

 

“Pelepasan air empangan kami yang akan kawal. Justeru itu, kita tidak mahu rakyat terlalu bimbang walaupun kita akan berdepan dengan musim kering tidak lama lagi.

 

“Paras empangan kita masih lagi cukup, kolam takungan juga kita sudah ada dan pembenihan awan pun bila-bila masa kita bersedia buat jika perlu, jadi semuanya masih lagi dalam keadaan terkawal.

 

“Cuma, kita berdoa jugalah semoga musim kemarau tahun ini tidaklah berlaku terlalu teruk hingga menjejaskan bekalan air yang sudah sedia ada,” katanya.

 

Ekuinoks yang dijangka melanda negara mulai minggu hadapan merupakan fenomena biasa yang berlaku dua kali dalam setahun iaitu Mac dan September ketika matahari berada tegak di atas garisan Khatulistiwa. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.