2,152 Ketua Keluarga Di Terengganu Terima Wang Bantuan Banjir

SETIU – Sejumlah 2,152 daripada 14,948 ketua keluarga yang menjadi mangsa banjir di Terengganu menerima bantuan ihsan masing-masing sebanyak RM1,000 hasil sumbangan kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) setakat ini.

 

Pemangku Setiausaha MKN Terengganu Roslina Ngah berkata, bantuan ihsan itu diagihkan secara berperingkat di seluruh negeri dan pengagihannya dijangka selesai pada Mac ini.

 

Beliau berkata pengagihan wang ihsan diadakan serentak dengan bantuan daripada kerajaan negeri dan dimulakan sejak akhir Disember lalu di Kuala Terengganu, Kemaman, Marang dan Setiu.

 

“Setiap ketua keluarga menerima RM500 daripada MKN dan RM500 lagi daripada kerajaan negeri dengan jumlah penerima tertinggi ialah di Kemaman dan Dungun memandangkan dua daerah tersebut paling teruk dilanda bencana itu,” katanya.

 

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pengagihan wang ihsan kepada 362 ketua keluarga mangsa banjir yang disempurnakan Adun kawasan Langkap Datuk Sabri Mohd Nor di sini hari ini.

 

Roslina berkata Kemaman mencatatkan jumlah penerima tertinggi iaitu 5,037 orang diikuti Dungun (3,622 orang), Kuala Terengganu (2,552 orang), Hulu Terengganu (1,622 orang), Besut (930 orang), Setiu (820 orang) dan Marang (365 orang).

 

Di Besut, sejumlah 2,890 pelajar dan 322 guru di daerah Besut yang terjejas banjir tahun lalu menerima bantuan daripada Program Pasca Banjir Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

 

Majlis penyampaian bantuan itu dilakukan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Daerah Besut Hasniza Yahya dan Ketua Pegawai Pelajaran Daerah Besut Ab Halim Hassan di Pejabat Pendidikan Daerah Kota Putera di sini.

 

Pemberian bantuan itu diumumkan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Datin Seri Rosmah Mansor kepada kerajaan negeri Terengganu yang diwakili Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman pada 8 Februari lalu dalam majlis di Sekolah Kebangsaan Seberang Tayor Kemaman.

 

Setiap pelajar menerima bantuan berupa alat tulis dan buku manakala guru masing-masing menerima dua pasang pakaian.  – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.