Selamatkan Selangor Daripada Ketidaktentuan – Muhyiddin

KAJANG – Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin mengajak pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menyelamatkan negeri Selangor daripada ketidaktentuan yang mungkin berlaku jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang kerusi DUN Kajang pada pilihan raya kecil (PRK) bulan depan.

Timbalan perdana menteri berkata berdasarkan maklumat daripada pelbagai pihak, ramai termasuk pemimpin pembangkang sendiri tidak bersetuju dengan keputusan Anwar, yang juga penasihat PKR, yang sengaja mengadakan PRK itu untuk menjadi menteri besar Selangor.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata jika Anwar dipilih, ketidaktentuan dalam kerajaan negeri akan berlaku, sekali gus memberi kesan besar terutama kepada rakyat Selangor sendiri.

“Kalau ini berlaku…kesannya (ialah) pada kepentingan rakyat yang tidak akan terbela, masalah pembangunan terjejas, masalah dengan pelaburan mungkin akan timbul, masalah air tak dapat diselesaikan dan masalah-masalah lain.

“Perbalahan dalam menentukan kerusi MB mungkin terjadi…Ini satu keadaan yang kita tak hendak berlaku di negeri paling maju seperti Selangor,” kata Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Mesra Rakyat di Surah Al-Falah, Bukit Dukung, sempena lawatan separuh harinya ke Kajang.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan calon BN bagi PRK itu, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Muhyiddin menegaskan bahawa pengundi DUN Kajang perlu menolak Anwar sekali gus menghalang kerakusannya untuk berkuasa, bagi mengelak kekeliruan, masalah dan isu berbangkit yang menyusahkan rakyat.

“Bila kita buat keputusan tawarkan calon kita, ini secara langsungnya hendak selamatkan keadaan daripada timbul masalah yang mungkin akan berlaku selepas pilihan raya nanti.

“…Ini bagi saya satu tanggungjawab, dalam Islam disebut jihad dalam mencari kebaikan, nak mengelak kemungkaran, nak elak perselisihan yang tak baik. Ini kewajipan dan tanggungjawab kita,” katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan Noh sebagai Pengarah PRK DUN Kajang, dibantu Ketua Umno Hulu Langat Datuk Johan Abdul Aziz.

Pada sidang media selepas itu, Muhyiddin berkata sekalipun BN dilihat bukan pilihan dalam PRK berkenaan, namun seluruh jentera parti akan bekerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon yang diketengahkan.

Beliau berkata oleh kerana PRK kali ini yang pertama buat kepimpinan MCA yang baharu, ia menjadi medan ujian untuk menentukan penerimaan rakyat terhadap transformasi kepimpinan parti komponen BN itu.

Muhyiddin menegaskan bahawa sebagai kerajaan prihatin, kerajaan persekutuan akan sentiasa mencari jalan bagi membantu menangani setiap permasalahan rakyat.

“Walaupun kita bertanding di PRK ini sebagai pembangkang tetapi kerajaan BN sentiasa ada hati untuk bantu rakyat, dan perkara itu akan menjadi lebih mudah jika kita dipilih jadi wakil rakyat di sini,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon pada 11 Mac manakala pengundian akan diadakan pada 23 Mac.

PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya, Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas bagi memberi laluan kepada Anwar.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.