Papa Rock gegar Perak 22 Mac

IPOH –Selebriti, Datuk Ramli Sarip atau lebih dikenali sebagai Papa Rock bersedia menggegarkan peminatnya di Perak, di Hotel Riverfront bermula kira-kira jam 8.45 malam, 22 Mac ini.

Papa Rock itu akan tampil beraksi dalam konsert ini selama dua hingga tiga jam persembahan di samping menyanyikan lagu hits seperti Teratai, Kamelia, Batu dan lain-lain lagi selepas kejayaan konsert Blues Buat Teman Tour 2014 di Kuala Lumpur, 19 Januari 2014 lalu.

Ramli, 62, berkata, berbangga kerana Koloni Karyawan Amanjaya (Port) memberikan peluang untuknya berkarya dalam konsert itu.

“Saya berterima kasih kepada Port, meskipun persembahan saya nanti berskala sederhana ia tetap bermakna kepada saya dan dunia seni.

“Apa yang penting bukan untuk diri saya, cukup untuk kos pemuzik, tenaga kerja serta peminat yang sudi hadir nanti, itu yang diutamakan dan saya akan beri yang terbaik kelak,” katanya pada sidang media, di sini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Port, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Aminuddin Hashim.

Difahamkan, konsert terbabit bukan semata-mata sebuah konsert, tetapi lebih untuk mengumpul dana sebagai tanda keprihatinan anak seni kepada rakan-rakan seni lain yang memerlukan perhatian.

“Saya akan buat yang terbaik untuk menghiburkan peminat dan takkan berkira dengan mereka. Saya anggap peminat adalah sebahagian daripada hidup saya.

“Kita juga akan tampilkan seorang lagi lagenda rock tanah air iaitu Mus May yang kebetulan orang Perak,” katanya.

Konsert Blues Buat Teman akan diadakan di Pulau Pinang sebelum ke Terengganu pada 7 Mac; Melaka (15 Mac); Perak (22 Mac) dan Johor (28 Mac).

Tiket berharga RM53 dan sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Port menerusi 05-2412 287. –  sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.