Singapura Catat Kes Pertama Jangkitan Virus Dari China

SINGAPURA – Singapura hari ini mengesahkan satu kes jangkitan novel coronavirus import yang pertama di republik itu.

Dalam makluman terkini, Kementerian Kesihatan Singapura berkata kes itu membabitkan seorang lelaki warganegara China berusia 66 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura dengan keluarganya pada 20 Jan lepas.

Lelaki itu sedang dirawat di wad isolasi Hospital Umum Singapura (SGH) dan keadaannya stabil.

Kementerian berkata pihaknya turut diberi notifikasi satu kes disyaki, yang ujian awal bagi novel coronavirus adalah positif.

Kes itu membabitkan wanita warganegara China berumur 53 tahun dari Wuhan.

“Kementerian diberi notifikasi tentang kes disyaki ini pada 23 Januari dan sedang menunggu keputusan pengesahan ujian itu, dan keadaan wanita itu stabil,” katanya.

Kementerian berkata pesakit lelaki itu sebelumnya menginap di Shangri-La’s Rasa Sentosa Resort & Spa di Sentosa dan menyatakan dia hanya berada dalam kawasan hotel itu.

Menurut kementerian, pihaknya mengenal pasti 7 individu yang berhubung rapat dengan lelaki itu, yang merupakan rakan seperjalanannya.

Seorang daripada rakan seperjalannya turut dimasukkan ke dalam wad sebagai kes disyaki, lelaki warganegara China berusia 37 tahun daripada Wuhan dan keadaanya stabil.

Kementerian berkata status kesihatan semua rakan lelaki itu kini dipantau rapi, dan sebagai langkah berjaga-jaga, mereka akan dikuarantin selama 14 hari dari tarikh mereka terdedah kepada pesakit itu.

Sementara itu, dalam temu bual dengan The Straits Times pada mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata Singapura lebih bersedia sekarang berbanding semasa wabak SARS (sindrom pernafasan akut yang teruk) pada 2003.

Menurut laporan itu, Lee berkata Singapura membuat persediaan bagi menghadapi wabak viral sejak SARS pada 2003, dengan 238 orang dijangkiti di republik itu, 33 daripadanya maut, dan mengambil masa 3 bulan untuk dibendung.

“Saya berpendapat kita lebih bersedia sekarang. Kita mempunyai Pusat Penyakit Berjangkit di Tan Tock Seng,” kata perdana menteri dan menurutnya selepas berlakunya wabak SARS, Singapura telah menjalankan semakan terperinci terhadap kemudahan dan infrastruktur perubatannya termasuk wad isolasi serta ujian saintifik dan keupayaannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open

Close