Malaysia Disaran Ikut Taiwan, Hukum Mati Pemandu Mabuk Penyebab Kematian

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes kemalangan maut berpunca dari sikap tidak bertanggungjawab pemandu mabuk yang semakin ketara kebelakangan ini memerlukan penyelesaian dan tindakan segera dari pihak berkuasa.

Pihak kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan dan sistem kehakiman negara digesa mengambil tindakan dan mengenakan hukuman lebih tegas bagi menangani masalah pemandu mabuk yang makin membimbangkan itu.

Ketua Penaja Pergerakan Wirawati Putra Malaysia (PUTRA), Dr Asmah Razalli berkata, bagi tahun 2018 sejumlah 191 kes kematian yang direkodkan berpunca dari kes pemandu mabuk dan jumlah itu kian meningkat pada 2019, katanya, dipetik dari laporan Malaysia Gazette.

“Bilangan kes kematian akibat sikap tidak bertanggungjawab pemandu mabuk ketika memandu kenderaan sangat membimbangkan kerana nyawa orang awam yang tidak berdosa sewenangnya terkorban.

“Kita desak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang pernah berjanji ketika sidang Dewan rakyat November tahun lalu untuk mengambil serius perkara ini dan memuktamadkan keputusan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Malaysia ketika ini hanya menggunakan hukuman dalam Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pesalah dan sudah sampai masanya kerajaan mengkaji aspek hukuman dan undang undang lebih keras terhadap pemandu mabuk,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan supaya Malaysia mengikut jejak langkah Taiwan yang kini dalam perancangan menjadikan kes kematian disebabkan pemandu mabuk sebagai kesalahan bunuh dan boleh dikenakan hukuman mati.

Taiwan membincangkan draf pindaan Kanun Keseksaan berkaitan hukuman mati pemandu mabuk itu Mac tahun lalu dan turut mencadangkan hukuman penjara seumur hidup bagi kes yang sama serta penjara 12 tahun untuk kes kecederaan serius.

Dalam pada itu, Dr Asmah berkata dalam bulan pertama tahun 2020 juga sudah berlaku beberapa kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk.

“Wirawati Putra sentiasa peduli dengan keselamatan rakyat dan berharap Kementerian Pengangkutan mengadakan kempen “Jangan pandu jika mabuk” serta menunaikan janji mereka untuk meminda pelaksanaan serta hukuman lebih tegas ke atas pesalah.

“Kerajaan juga perlu memikirkan cara taktikal mengesan pemandu mabuk yang memandu secara keterlaluan dan mabuk secara berleluasa bukan amalan budaya rakyat Malaysia,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS hari ini turut mendesak kerajaan mengambil langkah segera meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi menangani masalah pemandu mabuk.

“Rakyat mendesak Akta 333 dipinda khususnya melibatkan hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

“Ramai orang awam tidak bersalah termasuk kanak-kanak dan wanita mati akibat sikap pemandu mabuk yang semakin ramai mutakhir ini.

“Sampai bila rakyat yang tidak bersalah terus menjadi korban pemandu mabuk ini? Mengapa Menteri Pengangkutan masih berdiam diri dan belum meminda Akta 333?,” kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open

Close