Rumah Mampu Milik Di Selangor dan P.Pinang Hanya Tinggal Mimpi

Hasrat kerajaan persekutuan ingin membina sejuta rumah mampu milik di seluruh negara semakin sukar ekoran dua negeri ditadbir Pakatan Harapan – Selangor dan Pulau Pinang – kini giat menjalankan jualan mega hartanah bagi menebalkan poket negeri.

Penganalisis politik dan isu semasa, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Haniff berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak lagi berperanan membangunkan rumah mampu milik di Selangor.

Sebaliknya, bertukar sebagai agensi mengejar keuntungan bagi kerajaan Pakatan Harapan dengan mengenakan yuran penukaran penggunaan tanah yang tinggi dan pelbagai lagi caj berkaitan tanah.

“Birokrasi dan sikap berdolak-dalik merupakan sebab-sebab lazim yang melambatkan proses dan ini menambahkan lagi kos.  Perbelanjaan dan faedah pinjaman bank perlu dibayar walaupun projek belum dapat dimulakan.

“Kita belum lagi berbincang mengenai  rasuah dan ini boleh memberi kesan besar terhadap kos kerana kadar yang diminta oleh ‘orang-orang tengah’ untuk ‘melicinkan proses’ boleh menjadi besar dan untuk setiap tandatangan yang diperlukan,” katanya dipetik blog beliau, Seademon Says.

Ujarnya, kesukaran untuk membina rumah mampu milik oleh kerajaan persekutuan dikusutkan lagi berikutan hal berkaitan hartanah dibawah bidang kuasa kerajaan negeri – ianya juga diakui oleh sebahagian besar pemaju rumah mampu milik.

Disebabkan kedegilan kerajaan negeri untuk bekerjasama menjadi punca hanya 11,000 unit rumah mampu milik sahaja dibina berbanding hasrat awal untuk menyiapkan 70,000 unit.

Sementara di Pulau Pinang, ADUN Datuk Keramat dari parti DAP, Jagdeep Singh Deo mendakwa bahawa negeri berkenaan mempunyai rumah mampu milik terbanyak dalam negara.

Katanya, 17,000 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah kini sedang dibina dan bakal dijual dengan nilai bermula RM42,000 hingga RM300,000 setiap unit

Abdul Rahmat pula mempunyai pandangan berbeza kerana, sepanjang 9 tahun pentadbiran DAP selaku pemerintah Pulau Pinang, tiada satu pun rumah mampu milik pernah diserahkan kepada rakyat malah kerajaan negeri menyalahkan pula kerajaan persekutuan pula diatas kegagalan sendiri.

“Kampung-kampung tradisi, terutamanya penempatan tradisi orang-orang Melayu, dirobohkan untuk memberi laluan kepada para pemaju membangunkan kondominium mampu tengok dan lain-lain pembangunan komersil.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang juga bersikap tidak bertanggungjawab menjual tanah-tanah milik kerajaan negeri kepada para pemaju hinggakan hanya tinggal baki tujuh peratus sahaja tanah kerajaan negeri di Pulau Pinang.

“Ini bermakna peluang untuk mendirikan rumah-rumah mampu milik di Pulau Pinang semakin halus.”

Tambahnya, caj-caj tambahan dikenakan kepada pemaju telah meningkatkan lagi kos pembinaan rumah mampu milik di negeri berkenaan.

Berikut merupakan caj dikenakan kerajaan negeri kepada pemaju yang menjadi penyumbang kepada peningkatan harga tanah yang melampau.

1. Caj Perumahan Kos Rendah = RM150,000 seunit
2. Caj Perumahan Mampu Milik = RM200,000 seunit
3. Caj Pembangunan = RM15 sekaki persegi
4. Gerai Penjaja = RM58,000 satu gerai
5. Caj Infrastruktur = RM15 sekaki persegi
6. Caj Tadika = RM500 sekaki persegi
7. Kemudahan komuniti (surau, padang permainan) = RM500 sekaki persegi
8. Tempat letak kereta = RM25,000 sepetak
9. Saliran dan perparitan = RM50,000 seekar

Jelas Abdul Rahmat, peningkatan premium tanah Pulau Pinang telah meningkat 1,671% dalam tempoh 9 tahun pentadbiran kerajaan negeri, daripada RM21.82 juta pada 2007 kepada RM336.49 juta pada 2016.

Justeru, tidak hairanlah pemaju hartanah menjual rumah dengan harga mahal berikutan hartanah persendirian berkeluasan 1,000 kaki persegi sebelum 2007 dibina dengan kos RM42,000 meningkat mendadak kepada RM120,000 seunit kini.

“Apabila dikenakan kadar faedah sebanyak 5 peratus setahun untuk tempoh pinjaman 30 tahun, bayaran faedah akan menjadi RM116,569.73 atau RM671.03 setiap bulan.  Kos keseluruhan akan menjadi RM236,569.73 setiap unit.

“Adakah kadar bulanan ini mampu dibayar oleh mereka yang dari golongan berpendapatan rendah?” soalnya.

Selangor dan Pulau Pinang sewajarnya mencontohi sikap kerajaan PAS Kelantan mengutamakan kesejahteraan rakyat dengan membenarkan kerajaan pusat membina rumah mampu milik di Machang dan Kota Bharu.

“Pandai-pandailah anda menilaikan sendiri siapa yang mendahulukan kepentingan rakyat dan siapa yang mendahulukan kepentingan keuntungan,” kata Abdul Rahmat lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.