PM Najib Lancar MyGCAP Tingkat Pengurusan Risiko dan Pematuhan GST

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Program Jaminan Pematuhan GST Malaysia (MyGCAP), satu inisiatif perkongsian bestari di antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan orang berdaftar GST bagi meningkatkan pengurusan risiko dan pematuhan kepada perundangan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Najib yang juga Menteri Kewangan melancarkan MyGCAP itu sempena sambutan Hari Kastam Sedunia ke-38 Tahun 2018 di sini hari ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata pelaksanaan MyGCAP dilaksanakan untuk menggalakkan orang berdaftar GST dengan secara sukarela, mengurus risiko GST serta memperbaiki pematuhan melalui satu rangka kerja kawalan GST yang berkesan dan mantap.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata buat permulaan, pelaksanaan MyGCAP ditawarkan kepada syarikat-syarikat senaraian awam atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Program ni akan diperluaskan kepada syarikat-syarikat lain secara berperingkat,” katanya dalam sidang media selepas majlis sambutan Hari Kastam Sedunia itu.

Beliau berkata pelaksanaan MyGCAP dijangka dimulakan pada suku kedua tahun ini.

Johari berkata MyGCAP antara lain akan memudahkan syarikat-syarikat yang disahkan menuntut bayaran balik GST dengan lebih cekap.

“Dengan ini, ia juga membantu pergerakan aliran tunai dalam setiap syarikat. Inisiatif ini akan memastikan isu-isu berbangkit berhubung bayaran balik yang lambat dapat diatasi,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.