Penduduk Gempar Air Sungai Bertukar Warna Biru

SEREMBAN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengarahkan sebuah kilang kitar semula di kawasan perindustrian ringan Senawang di sini memberhentikan kerja-kerja pencucian plastik terpakai serta-merta setelah masyarakat setempat gempar dengan ‘fenomena air biru’.

Pengarah JAS Negeri Sembilan Norhazni Mat Sari berkata notis arahan itu dikeluarkan pada Isnin, selepas pemeriksaan dilakukan pihaknya setelah mendapat aduan awam pada pukul 1.15 tengah hari, hari yang sama.

“Siasatan kami mendapati air biru itu terjadi akibat daripada kerja-kerja pencucian plastik terpakai yang dicemari dengan bahan pewarna. Kita telah arahkan kilang terbabit menghentikan operasi pencucian itu dan tidak lagi menerima plastik yang telah dicemari dengan bahan pewarna.

“Kilang terbabit juga telah kita arahkan supaya menyedut semula air biru itu dan proses berkenaan telah pun selesai pagi tadi dan keadaan sungai kini kembali seperti sediakala,” katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kejadian air biru di kawasan perumahan Taman Tuanku Jaafar (TTJ), Senawang dekat sini yang tular di media sosial pada Isnin.

Mengulas lanjut, Norhazni berkata fenomena air biru itu dikesan bermula daripada saluran longkang di kilang terbabit dan kemudiannya mengalir ke kawasan perumahan TTJ, seterusnya ke Sungai Simin, di sini.

“JAS juga membuat pengukuran ‘in situ’ dan mendapati tahap bacaan pH adalah neutral dan tidak berbahaya kepada masyarakat setempat.

“Pun begitu, kita juga mengambil sampel air biru itu untuk dianalisa kandungan sebenarnya,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.