Kes Tipu Pakej Umrah, Polis Buru Bekas Pengarah YBNT

KUALA TERENGGANU  — Polis Terengganu sedang berusaha mengesan bekas pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) Mohd Adam Mohd Ghazali berhubung kes penipuan umrah YBNT melibatkan kerugian kira-kira RM4.5 juta.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata bekas pengarah itu dipercayai menghilangkan diri sejak sebulan lalu dan polis telah mengedarkan gambarnya kepada pihak imigresen dan semua kontinjen polis bagi mengesannya.

Katanya bekas pengarah itu yang direman pada 27 Disember 2016 hingga 21 Januari 2017 bagi membantu siasatan kes tersebut telah dilepaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman itu sementara menunggu arahan Pegawai Pendakwa Negeri.

Ketika ditemui Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, semalam Aidi berkata lokasi terakhir Mohd Adam, 30, dikesan adalah di Pasir Mas, Kelantan dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentangnya supaya menyalurkannya kepada pihak polis.

Kes penipuan oleh YBNT yang menawarkan pakej umrah dengan harga terlampau murah RM3,000 seorang telah dilaporkan pada 21 Disember 2016 yang melibatkan sebanyak 4,000 guru di negeri ini.

Sebanyak 392 laporan polis telah dibuat dan 11 kertas siasatan telah dibuka. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.