Jiwa Matang Si Bunga Biru

SAYAPNYA membawa nama wanita ini terbang mengelilingi awan tinggi. Seperti tiada noktah dalam pencarian kejayaan, dia terus bergerak merentasi dunia untuk memahat namanya.

Seindah nama yang membawa maksud cahaya bunga biru, Neelofa bukan calang-calang wanita. Berjaya sebagai seorang pengacara dan pelakon, bidang keusahawanan turut mengiktiraf wanita ini.

Baru sahaja menerima anugerah pertama bagi 2018, Neelofa diumumkan sebagai Women of The Year pada Anugerah Antarabangsa Grandeur and Elegante atas kejayaannya mengemudi jenama Naelofar Hijab.

Kekal berjiwa hamba biarpun sudah terbang tinggi, Neelofa bagaimanapun tidak mahu mengambil kisah apa sahaja lontaran kata nista netizen yang gemar mencari kesempurnaan.

Bagi pengacara MeleTop ini, dia sedar banyak mata yang mahu melihat dia terkesan dengan kecaman dan kritikan tidak membina, namun dia harus membuktikan sebaliknya.

“Yang saya lalui dari 2011 sehingga kini banyak mematangkan saya. Daripada cara menjawab soalan dan mengendalikan emosi tatkala kontroversi datang menyinggah, saya sudah dapat mengawalnya.

“Tahun pertama saya melangkah dalam industri pun, pelbagai kecaman dan makian diterima jadi saya sudah kalis itu semua. Saya tak boleh terkesan, Saya tahu siapa saya dan yang saya lakukan.

“Mereka (netizen) bukan kenal saya. Mereka hanya tahu menilai dari kaca mata mereka menerusi perkongsian di laman sosial. Itu yang membuatkan saya tidak terus terkesan dengan setiap kritikan negatif mereka,” kata pemilik empayar hijab ini.

Diaju soalan benarkan beberapa dakwaan mengatakan Neelofa bakal mengundurkan diri dari dunia lakonan, Neelofa seraya tersenyum tenang menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju.

Jelas pelakon filem Pilot Cafe ini, dia cuma mahu mengurangkan komitmennya dalam dunia lakonan kerana terikat dengan kesibukan di bidang usahawan selain jawatan baharu disandang sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan AirAsia.

“Saya akan ada satu projek istimewa untuk raya nanti. Tetapi itu akan diumumkan bulan hadapan. Saya juga akan sibuk dengan kempen Naelofar Hijab untuk raya dan kolaborasi dengan beberapa hab fesyen dalam talian.

“Pastinya, dengan AirAsia sendiri pelbagai perkara yang bakal dilakukan. Saya sangat-sangat teruja untuk meneroka ilmu dan perkara baharu sepanjang 2018 ini nanti.

“Kerjaya seni berjalan seperti biasa. Mungkin akan dikurangkan sedikit tetapi tidak bermaksud tinggal terus.

“Setiap tawaran yang bagus, kita terima. Rugi kalau lepaskan,” katanya yang baru pulang daripada percutian di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Membuka gelanggang cerita tentang pengalaman pertama kali menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa kumpulan syarikat penerbangan tersebut baru-baru ini, Neelofa mengakui kecut perut.

“Sangat mengujakan dan perasaan gementar itu pasti ada. Sebelum tahun baharu, mereka memberi ruang untuk saya mempelajari selok belok AirAsia sebagai persiapan menghadiri mesyuarat itu.

“Sepanjang pengalaman saya dengan AirAsia setakat ini, banyak perkara baharu yang saya belajar dan memberi saya perspektif baharu dalam dunia perniagaan yang selama ini saya tidak tahu,” katanya yang popular dengan drama Suri Hati Mr. Pilot.

Mahu belajar ‘isi’ dunia

Menyelusuri perjalanan hidupnya sepanjang 2017, Neelofa menempa nama dengan cukup hebat. Dia mengatur langkah dengan cukup jaya dan memberi inspirasi kepada ramai anak muda di luar sana.

Namun pasti ramai peminat Neelofa yang tertanya-tanya, jauh di sudut hati wanitanya, tidakkah dia terfikir untuk mencari cinta sejati memenuhi ruang yang sudah lama kosong itu?

Azamnya awal tahun lepas untuk berkahwin, namun ternyata tidak tercapai. Adakah tahun ini, dia mengimpikan azam yang sama? Soalan terus ditanya kepada wanita yang cukup indah luar dan dalam ini.

“Kahwin? Saya tidak memikirkan soal itu lagi. Saya menjelajah ke beberapa negara tahun lepas dan banyak sangat perkara yang saya belajar. Berjumpa dengan mereka seusia yang berjaya membuatkan saya lebih fokus untuk terus menggali kejayaan.

“Hidup ini bukan lagi berkisar tentang perkahwinan sebaliknya yang saya lihat adalah sikap saling memberi, melabur dalam pekara yang kita minati dan juga membuat kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Saya mahu terus menjelajah untuk melihat lebih banyak perspektif baharu. Saya mahu menggali lebih banyak ilmu sebagai bekalan saya di dunia dan akhirat. Itu cinta yang saya ingin kejar,” katanya.

Ditanya apakah impiannya tahun ini, Neelofa dengan nada teruja memberitahu, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk membuka sebuah pusat al-Quran.

Namun jelas wanita berusia 28 tahun ini, perancangan itu bukan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat kerana dia sendiri perlu lebih banyak belajar dan memperbaiki diri sebelum membuka pusat seumpama itu.

“Saya pasti, ibu dan bapa saya juga mempunyai impian sama. Saya juga dari dahulu memang sudah merancang sedikit demi sedikit untuk merealisasikan hasrat itu.

“Tapi biasalah, saya mahu memperbaiki diri ke arah yang lebih baik sebelum saya menunaikan impian tersebut. Doakan saya semoga urusan itu dipermudah,” kata pengacara popular tiga tahun berturut-turut itu.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.