Haqiem Tumpu AJL

Bagi mengekalkan momentum dan stamina untuk beraksi di Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL) pada 11 Februari depan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Haqiem Rusli kurang mengambil tawaran persembahan sejak awal bulan ini.

Haqiem berkata, keputusan terbabit dibuat bagi memberi komitmen dan fokus penuh terhadap penyertaaan pertamanya dalam acara berprestij itu.

“Ada beberapa persembahan terpaksa dibatalkan kerana waktu yang agak dekat dengan AJL.

“Lagipun ini pengalaman pertama saya di pentas AJL. Jadi, saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan selain fokus untuk mantapkan vokal dan persembahan,”katanya.

Haqiem bertanding menerusi lagu Tergantung Sepi ciptaan Ghouffran dan Ibnu.

Sengaja menebak soalan mengenai potensi besar lagu terbabit dijulang sebagai pemenang, Haqiem tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu besar.

Menurutnya, dia serahkan soal rezeki kepada Allah SWT, namun cuba memberikan yang terbaik dan selebihnya mengharapkan sokongan peminat.

“Saya mengkaji setiap lagu yang bertanding dan saya turut menghayati setiap lirik yang disusun rapi dalam lagu terbabit.

“Ternyata setiap lagu ada keunikan dan kekuatan yang tersendiri. Pada masa sama, kita pun ada penyanyi senior lain yang turut bertanding dan biasa dengan pentas AJL. Jadi saya harap dapat lakukan persembahan yang terbaik.

“Asalkan saya, ibu bapa dan syarikat rakaman berpuas hati, itu sudah memadai,” katanya.

Ditanya mengenai kehidupan peribadi yang sering menjadi perhatian umum, Haqiem turut ditanya mengenai kekasih hati.

Bagaimanapun, jejaka yang turut terkenal menerusi lagu Segalanya berkata, hatinya masih belum dimiliki selepas hampir dua tahun putus cinta.

“Kegagalan dalam percintaan dua tahun lalu masih berbekas dalam hidup saya. Jadi buat masa ini soal cinta bukanlah menjadi keutamaan.

“Saya mahu kerjaya terus berkembang dan mendapat sambutan peminat. Saya tidak mahu diganggu dengan soal cinta,” katanya.

Menurut Haqiem, ibunya juga lebih suka melihat dirinya yang belum terfikir untuk punya kekasih hati.

“Ibu saya pun senang melihat saya sibuk di studio menghasilkan lagu baru daripada bercinta. Lagipun bidang seni adalah cabang kerjaya yang saya cari selama ini. Jadi, saya tidak mahu sia-siakan peluang yang datang,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.